PRU15: 'Saya punyai rekod cemerlang, pengalaman pentadbiran untuk Bera' - Abas

Fareez Azman
November 5, 2022 16:47 MYT
Abas berkata, pengalaman dalam pentadbiran dijangka memberi kelebihan buatnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. - Astro AWANI
BERA: Calon Parlimen P.090 Bera, Abas Awang, 71, dari Pakatan Harapan (PH) menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin di kawasan itu meskipun saingannya merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya, pengalaman dalam pentadbiran dijangka memberi kelebihan buatnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
"Pertama, kita serah kepada rakyat untuk beri mandat dan kita pun ada nama besar di belakang kita iaitu Datuk Seri Anwar... kalau menang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermakna Perdana Menterinya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dengan rangkaian begitu saya fikir tiada masalah untuk melaksanakan tugas dengan baik," jelasnya.
Dari sudut pendidikan pula ujarnya, pengalaman menjadi pengarah di peringkat negeri serta maktab perguruan menjadi kekuatan bagi dirinya berbanding lawan.
"Saya pun ada pengalaman dalam pentadbiran, pernah jadi pengetua di lima buah sekolah, pernah jadi pegawai Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, dan juga Pengarah Maktab Perguruan.
"Jadi dengan pengalaman begitu apabila diberi mandat saya fikir tak ada masalah kalau tengok rekod-rekod bertugas saya sentiasa cemerlang.
"Saya fikir dari segi tugas dan peranan saya bila diberi mandat, saya fikir itu tugas yang boleh saya laksanakan dengan baik," katanya lagi.
Abas bakal berdepan saingannya Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO yang juga penyandang kerusi Parlimen itu, serta Datuk Asmawi Harun daripada Perikatan Nasional (PN).
Sehingga 9 Oktober lalu, seramai 77,669 pemilih layak mengundi di Parlimen Bera pada PRU15.
Ia melibatkan 73,860 pengundi biasa, 3,521 anggota tentera dan pasangan, 279 anggota polis dan pasangan dan sembilan pengundi luar negara.
#Parlimen Bera #Pakatan Harapan #Abas Awang #ismail sabri yaakob
;