PRU15: 'Saya orang parti, penting untuk sokong calon baharu' - Dr Adham Baba

Astro Awani
November 4, 2022 23:39 MYT
Penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) yang bakal mengambil alih kerusinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15. - Foto FB/Adham Baba
KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) yang bakal mengambil alih kerusinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, sebagai orang parti, adalah penting untuk pemimpin menyokong calon muka baharu dalam memastikan kemenangan BN.
“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Tenggara, saya menyatakan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional P155 Tenggara, Saudara Manndzri Nasib.
“Saya orang parti. Saya berpandangan adalah penting untuk pemimpin berjiwa besar dan menyokong calon muka baharu dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional,” jelas Dr Adham.
BACA: PRU15: Dr Adham gugur, BN calonkan Manndzri Nasib di Parlimen Tenggara
Tambahnya, beliau akan bersama-sama jentera sepanjang PRU15 dan mendoakan agar pengundi akan terus memberi kepercayaan serta undi kepada calon BN.
Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib untuk berentap di kawasan yang disandang oleh Dr Adham selama dua penggal.
Dr Adham menang di kerusi tersebut pada PRU14 yang lalu dengan jumlah majoriti sebanyak 5,993.
#Dr Adham Baba #Barisan Nasional #PRU15 #Pemuda UMNO
;