Beliau yang juga calon BN Parlimen Bera berkata, dalam tempoh yang singkat selama setahun empat bulan menerajui kerajaan, BN berjaya membawa rakyat keluar daripada pandemik COVID-19.
Justeru, sekiranya mandat rakyat berpihak kepada BN kata Ismail Sabri lagi, lebih banyak perancangan akan dibuat demi memanfaatkan rakyat.
"Kita mempunyai masa setahun empat bulan... waktu amat singkat, dan ketika saya mengambil alih, isu terbesar adalah nyawa manusia.
Kita berdepan 24,000 kes positif COVID-19, kita berdepan beratus kematian harian, kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital hampir lumpuh, jadi fokus kita peringkat awal isu COVID-19, sektor ekonomi semua ditutup, kita nak buka semula.
"Kita berjaya turunkan COVID-19 sehingga semua sektor dibuka rakyat hidup seperti biasa tapi kita hanya ada satu tahun empat bulan," katanya.
Justeru, beliau yang juga calon Perdana Menteri BN pada PRU kali ini yakin selepas dua minggu berkempen, rakyat kini bijak memilih parti yang dapat membawa kesejahteraan rakyat.
"Saya janji kalau kita diberi peluang lima tahun lagi banyak perancangan untuk rakyat dapat dilaksanakan kerana kita mempunyai jangka masa panjang untuk ambil tindakan apa kita rancangkan.
"Nasihat saya kepada mereka yang mampu jaga kepentingan masa depan mereka adalah BN, jadi nasihat saya dan bukan setakat nasihat saya menyeru terus berikan sokongan kepada BN menjamin masa depan mereka lebih baik," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam program ramah mesra bersama penduduk di Felda 32 di sini pada Jumaat.