PRU15: "Saya gagal? Cermin diri dulu!" - Ismail Sabri bidas Muhyiddin
Abd Razak Mohd Ali
November 15, 2022 16:37 MYT
November 15, 2022 16:37 MYT
SUNGAI SIPUT: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mencermin diri sendiri dan mengimbas kembali suasana tidak menentu semasa pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika Muhyiddin memimpin Malaysia, landskap politik negara dalam suasana huru-hara.
Malah, menurut Ismail Sabri, ketika mengambil alih tampuk pentadbiraan negara, beliau terpaksa menguruskan kerja-kerja yang ditinggalkan Muhyiddin.
“Mereka tidak berpijak di bumi nyata, mereka tak ada fakta. Bagaimana mereka boleh kata kita gagal?
“Dari segi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita meningkat setiap suku tahun. Suku pertama 5 peratus KDNK, suku kedua (8.9 peratus)… salah satu yang tertinggi di Asia Tenggara.
“Yang terbaharu, suku ketiga (14.2 peratus) iaitu tertinggi di Asia Tenggara. Siapa yang gagal? Kalau kata kita gagal, nombor tidak menipu, nombor sangat jelas kita berjaya,” kata Perdana Menteri yang ditemui selepas majlis ramah mesra bersama keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti, Felda Lasah, di sini, pada Selasa.
Menurut Ismail Sabri juga, ketika mengambil alih pemerintahan negara, kes COVID-19 mencatat 24,000 jangkitan iaitu paling tinggi di negara ini dengan ratusan kes kematian dan ekonomi teruk merudum.
Bagaimanapun, kata beliau, selepas beberapa bulan kes COVID-19 mula menurun kerana kadar vaksinasi negara adalah antara yang terbaik di dunia.
Pada akhirnya, jelas Ismail Sabri, sempadan negara dibuka sejak April lalu dan ekonomi berjaya dipulihkan.
Dalam masa sama, kata Perdana Menteri, beliau berjaya menstabilkan politik dengan menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan dan pembangkang, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.