PRU15: Saya bersedia bertanding - Annuar

Bernama
Oktober 13, 2022 15:13 MYT
Dalam menghadapi PRU15, Annuar berkata UMNO sudah membuat persediaan malah tahap kesiapsiagaan mereka adalah baik. - Gambar fail
KOTA BHARU: "(Saya) bersedia untuk bertanding," demikian reaksi Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Annuar berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kaedah-kaedah dalam perlembagaan untuk mencadangkan calon yang bakal bertanding pada pilihan raya, termasuklah setiap bahagian dikehendaki mengemukakan cadangan calon kepada pucuk pimpinan parti.
"Bahagian Ketereh telah laksanakan (buat cadangan) tetapi yang akhirnya adalah terpulang kepada pucuk pimpinan.
"Saya ini orang parti, kalau parti merasakan saya boleh deliver (dapatkan) kerusi, boleh bantu kemenangan jadi (jika) disuruh bertanding kita bertanding," katanya.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian pada sidang media selepas sesi pengagihan peranti siswa kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada UMNO bersedia menghadapi PRU15 selepas pembubaran Parlimen, Annuar berkata parti itu sudah membuat persediaan malah tahap kesiapsiagaan mereka adalah baik.
"Lagipun pembubaran bukan dibuat di tengah-tengah penggal, kita dah nak masuk tahun kelima, sama ada nak bubar bulan Oktober macam sekarang atau paling-paling lewat pun kena bubar bulan April (tahun depan) jadi dalam lima enam bulan pada saya tidak ada bezalah.
"Jadi saya percaya semua parti politik bukan sahaja UMNO sudah membuat persediaan. Saya fikir BN akan tampil dengan satu formula politik yang sangat meyakinkan berdasarkan rekod pencapaian yang kita ada, selain BN mempunyai kelebihan dalam banyak aspek," katanya.
-- BERNAMA
#PRU15 #Annuar Musa #UMNO #pimpinan parti
;