PRU15: Sasaran kerusi Parlimen, PN akan buat kejutan - Azmin
Abd Razak Mohd Ali
November 10, 2022 21:40 MYT
November 10, 2022 21:40 MYT
IPOH: Ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan sasaran masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Perikatan Nasional (PN) mengambil sikap berdiam diri.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mereka akan membuat kejutan pada 19 November nanti iaitu hari mengundi.
"Kalau BN 112, PH 80, Anwar kata 100, saya ingatkan kita hanya ada 222 kerusi, saya tak tahu mana kerusi yang dia menang... kita akan buat kejutan pada 19 November ini," katanya ketika ditemui selepas program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Taman Klebang Jaya, Ipoh, pada Khamis.
Pada 31 Oktober, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka yakin mampu memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen pada PRU15.
Beberapa hari kemudian, Timbalannya, Rafizi Ramli pula berkata, mereka yakin menang sekurang-kurangnya 80 kerusi.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN yakin dapat memenangi 112 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti mudah.