PRU15: Sasaran 10 kerusi BN Kedah diyakini mampu dicapai- Mahdzir

Abd Hadi Che Awang
November 18, 2022 15:30 MYT
Mahdzir ditemui media selepas hadir merasmikan Kempen Pembukaan Tanah Terbiar dan Pembukaan Semula Tanah Felcra di Felcra Perupuk, Pendang pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
PENDANG: Tidak sampai 24 jam lagi sebelum hari proses pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan, Barisan Nasional (BN) Kedah diyakini mampu mencapai sasaran iaitu menang di sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa nada positif itu adalah bersandarkan daripada momentum sokongan yang dibina sehingga ke hari ini terutama dalam kalangan mereka yang menolak BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
"Barisan Nasional di negeri Kedah ini (saya lihat sokongan memang) meningkat dan saya nampak sokongan masyarakat Melayu, juga masyarakat Cina dan India memberi sokongan malah ada yang (pada) tahun 2018 dia orang tidak undi BN atas sebab-sebab yang kita (sendiri) tahu pada waktu itu.
"Tetapi kali ini ada yang berterus terang dan ada yang nak bagi undi itu kepada Barisan Nasional, mereka ini di kalangan masyarakat Melayu, masyarakat Siam, masyarakat Cina dan juga India," katanya.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Cuaca baik diramal sebelah pagi di beberapa negeri esok
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Kempen Pembukaan Tanah Terbiar dan Pembukaan Semula Tanah Felcra di Felcra Perupuk, Pendang pada Jumaat.
Mengulas mengenai slogan yang ditampilkan setiap parti, Mahdzir menyatakan bahawa ianya akan dinilai oleh para pengundi yang bijak melihat parti manakah yang membawa janji yang mampu ditunaikan serta direalisasikan selepas dipilih kelak.
"Saya ingat rakyat hari ni adalah rakyat yang punyai fikiran (yang matang), informasi di hujung jari, lebih banyak mereka tahu, kadang-kadang ada banyak lagi yang rakyat tahu daripada apa yang kita (calon) tahu.
"Ini disebabkan hari-hari mereka himpunkan maklumat dari media elektronik, media cetak, media sosial, info yang datang di hujung jari dia, even lima minit, sepuluh minit, selepas itu dia sudah ada informasi, maka, saya ingat apa juga nama (slogan) itu saya ingat rakyat nilai sendirilah," katanya lagi.
SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
19 Oktober lalu, Barisan Nasional (BN) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri Kedah untuk dimenangi pada PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu diyakini mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat kepada BN ketika ini selain kedudukan Kedah sebagai 'swing-state' yang sentiasa mempunyai kerajaan dari gabungan parti yang berbeza.
#PRU15 #Mahdzir Khalid #sasaran BN #Zahid Hamidi
;