PRU15: Saarani tiba di Istana Kinta

Ridauddin Daud
November 21, 2022 12:55 MYT
Saarani tiba dengan menaiki kereta Volvo berwarna hitam dan sempat melambai kepada para petugas media yang berada di hadapan pintu masuk istana. - Astro AWANI
IPOH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tiba di Istana Kinta, dekat sini, kira-kira jam 12.28 tengah hari, untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Difahamkan sembah menghadap itu bagi menyembah maklum kepada baginda berhubung situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu tiba dengan menaiki kereta Volvo berwarna hitam dan sempat melambai kepada para petugas media yang berada di hadapan pintu masuk istana.
Kemudian, kenderaan yang membawa Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria turut kelihatan memasuki pekarangan Istana Kinta kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Ketika ini tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak pasca PRU15.
PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memenangi 24 kerusi.
Sementara BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak.
#PRU15 #Saarani Mohamad #Istana Kinta #Sultan Perak
;