PRU15: Saarani nafi bertanding di Larut, namun UMNO tetap letak calon

Bernama
Mei 5, 2021 22:14 MYT
Saarani berkata UMNO tetap akan meletakkan calon di kerusi panas itu menerusi calon tempatan yang akan ditentukan kemudian. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad menafikan cakap-cakap politik yang beliau akan bertanding di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun Menteri Besar Perak itu berkata UMNO tetap akan meletakkan calon di kerusi panas itu menerusi calon tempatan yang akan ditentukan kemudian.
"Saya orang Lenggong. Saya sudah sebut berulang kali, UMNO akan tetap bertanding di Larut," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis perjanjian persefahaman antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Professional Latex Sdn Bhd di Pejabat Menteri Besar hari ini.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan UMNO sedang memilih calon sesuai bagi bertanding kerusi Parlimen Larut selepas wakil rakyatnya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu selepas PRU14.
Portal itu yang memetik sumber memaklumkan, antara nama yang dicalonkan adalah Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan.
Selain Larut, UMNO dilapor akan merebut semula kerusi panas lain iaitu Bagan Serai dan Bukit Gantang yang kini diwakili oleh wakil rakyat dari Bersatu.
-- BERNAMA
#Saarani Mohamad #nafi #bertanding #PRU15 #UMNO #pilihan raya umum #Hamzah Zainuddin
;