PRU15: Rundingan kerusi PN Pahang diputuskan pertengahan bulan ini

Astro Awani
September 2, 2022 11:12 MYT
Rundingan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk Pilihan Raya Umum ke-15 antara parti-parti gabungan Perikatan Nasional Pahang dijangka diputuskan pertengahan bulan ini, kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah. - Gambar fail BERNAMA
KUANTAN: Rundingan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara parti-parti gabungan Perikatan Nasional (PN) Pahang dijangka diputuskan pertengahan bulan ini.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keputusan agihan rundingan kerusi PN perlu segera diselesaikan dan dibawa ke Majlis Tertinggi untuk dimuktamadkan.
Tambah Saifuddin, walaupun agihan kerusi melibatkan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan Pahang, namun, pintu rundingan dengan mana-mana parti lain masih terbuka.
“Kita tidak menutup pintu kepada rundingan dengan mana-mana pihak lain kerana yang penting pada kita ialah ada gabungan parti yang kuat untuk menang dalam pilihan raya apa-apa pun… keputusan tentulah akan dibuat oleh pihak Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” kata beliau.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Pei Chai, di sini, pada Jumaat.
Tambah Saifuddin lagi, mesyuarat PN Pahang pada Khamis juga telah bersetuju untuk membuat lantikan Ketua Badan Perhubungan Parlimen di 14 kawasan Parlimen di negeri itu.
Beliau berkata, tujuh kawasan akan diketuai wakil dari Pas, enam kawasan diketuai wakil dari Bersatu dan satu kawasan diketuai Gerakan.
"Ini hanya untuk memastikan jentera PRU15 dapat digerakkan dengan lebih sistematik, jadi kita telah pun mengarahkan setiap kawasan Parlimen (sebuah) jawatankuasa yang telah dibentuk untuk segera bermesyuarat kerana kita nak cuba memutuskan agihan kerusi pada pertengahan bulan ini,” jelas beliau lagi.
Menurut Saifuddin, senarai nama Ketua Badan Perhubungan Parlimen itu akan bawa ke Majlis Tertinggi untuk dimuktamadkan yang dijangka pada 7 September ini.
#PRU15 #agihan kerusi #Perikatan Nasional #Saifuddin Abdullah