PRU15: Ronald Kiandee dijangka bertanding di Beluran atas tiket Bersatu atau PN?

Radhi Muslim
November 4, 2022 18:18 MYT
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dijangka bertanding di kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dijangka bertanding di kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut sumber, Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu itu tidak bertanding atas tiket Bebas.
“Datuk Seri akan bertanding… tetapi bukan atas tiket Bebas,” katanya ringkas kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Jika itu berlaku, Ronald mungkin bertanding atas tiket Bersatu ataupun Perikatan Nasional.
Pada majlis pengumuman calon GRS dan BN, pengerusi kedua-dua gabungan iaitu Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan kerusi Parlimen Beluran masih dalam perbincangan.
Namun, pada lewat malam Khamis, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan kerusi Parlimen Beluran akan diwakili calon BN.
BN katanya menawarkan Benedict Asmat untuk bertanding di kerusi parlimen itu.
Ia sekali gus menyaksikan BN bertanding di 12 kerusi Parlimen Sabah dan satu kerusi DUN Bugaya, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di 13 kerusi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Ronald Kiandee menang bergaya dengan majoriti 7,115 menewaskan lima calon masing-masing daripada Parti Warisan, Harapan Rakyat, Parti Cinta Sabah, PPRS dan calon Bebas.
Terdahulu, Ronald menjadi penyandang kerusi berkenaan sejak tahun 1999.
Dalam beberapa siri program beliau sebelum ini, Ronald tekad mempertahankan kerusi berkenaan.
#PRU15 #Malaysia Memilih #Bersatu #Perikatan Nasional #Ronald Kiandee
;