PRU15: Reformasi dasar tangani banjir jadi perjuangan Pak Wan
Israr Khalid
November 10, 2022 06:30 MYT
November 10, 2022 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Perikatan Nasional (PN) P.135 Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mahu terus memperjuangkan reformasi dasar penyelesaian isu banjir andai terus dipilih sebagai perwakilan.
Tegasnya, usaha menangani masalah banjir berlaku akibat pembangunan yang tidak lestari tidak seharusnya menggunakan wang rakyat sebaliknya tanggungjawab itu harus diletakkan pada pemaju terlibat.
Kata beliau, perkara tersebut sudah pun dibangkitkan beliau sebelum ini kepada kerajaan negeri Melaka supaya pembangunan tanpa kajian lengkap Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) patut dibekukan.
“Tanggungjawab membuat tebatan banjir seharusnya diberi kepada pihak yang bertanggungjawab mengubah keadaan sekeliling.
“Kenapa kita nak belanjakan misalnya RM40 juta (wang rakyat) sedangkan pemaju-pemaju yang menebas hutan membongkar tanah dan sebagainya dan menyebabkan berlaku longgokan air,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Bagaimanapun beliau mendakwa perkara itu tidak diendahkan pentadbiran sebelum ini ketika usaha mengurangkan impak buruk banjir seperti kerja-kerja penyelenggaraan perparitan dan pembinaan tembok penampan dan sebagainya terus dilakukan, menggunakan dana yang datang dari cukai dibayar rakyat.
Maka tegas beliau yang mesra dipanggil Pak Wan di kawsan itu, perlunya satu pentadbiran yang dapat mengemaskini sistem birokrasi dan membuat dasar yang lebih responsif.
Pada masa sama jelasnya, selaku penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, beliau akan meneruskan segala inisiatif yang telah dirancang dan dimulakan sekiranya sekali lagi mendapat mandat untuk menjadi perwakilan kawasan itu.