PRU15: Ramanan cabar KJ perjelas isu ECM Libra
Astro Awani
November 7, 2022 19:19 MYT
November 7, 2022 19:19 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan mencabar calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan beberapa kontroversi yang didakwa ada kaitan dengannya.
Teratas dalam senarai kontroversi yang dimaksudkan ialah yang melibatkan syarikat kewangan ECM Libra Bhd.
Memetik laporan The Vibes, Ramanan semasa ceramah di Paya Jaras pada Ahad membangkitkan dakwaan penglibatan Khairy dalam beberapa kontroversi.
Beliau mendakwa Menteri Kesihatan itu pernah dikenali sebagai "penganggur terkaya" di negara ini semasa bapa mentuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
“Beliau sepatutnya menjawab tentang skandal ECM Libra. Jumlah RM14 juta, masih belum ada penjelasan mengenai perkara itu," katanya seperti dipetik portal berkenaan.
Pada 2005, Khairy didakwa membeli 13 juta saham ECM Libra pada harga diskaun RM9.2 juta daripada tiga pemegang saham, mengundang kritikan dan dakwaan wujud konflik kepentingan kerana Abdullah adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu.
Selain itu, Ramanan turut menyebut beberapa lagi isu yang didakwa ada kaitan dengan Khairy, antaranya skandal RM107 juta membabitkan Kementerian Belia dan Sukan dan skandal RM70 juta Ultra Kirana Sdn Bhd.
“Saya ingatkan isu ini kerana mungkin kita terlupa. Saya tidak mahu mengungkit masa lalu, tetapi kita perlu melawan api dengan api, jika tida ada yang akan mengambil kesempatan,” tambahnya.
Khairy dalam pada itu, pada Isnin, mempersoal tindakan PH tidak mengambil tindakan terhadapnya ketika berkuasa, jika benar beliau bersalah.
Beliau mengingatkan parti lawan agar tidak cuba mengitar semula isu sedemikian kerana tiada satu bukti yang boleh mensabitkan apa-apa kesalahan kes terhadap dirinya.