PRU15: Rakyat sudah sedar 'drama politik cium mulut' Tun Mahathir, Anwar- Mahdzir

Abd Hadi Che Awang
Oktober 24, 2022 15:56 MYT
Menurut Mahdzir, peluang dalam menerajui kepimpinan negara juga wajar diberikan kepada generasi baharu berbanding 'watak-watak lama' seperti Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. - Fail BERNAMA
KUALA NERANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa rakyat ketika ini sudar mula menyedari corak permainan politik yang sering dimainkan dua watak politik lama iaitu Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad serta Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, 'pertelingkahan' membabitkan kedua-dua individu berkenaan sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu yang mana mereka hanya mementingkan kepentingan politik masing-masing selain tidak banyak menyentuh isu-isu berkaitan kepentingan serta kebajikan rakyat.
Tambah beliau peluang dalam menerajui kepimpinan negara juga wajar diberikan kepada generasi baharu berbanding 'watak-watak lama' seperti Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim.
"Saya tidak fikir tajuk, naratif yang dibawa (mereka berdua), tidak (langsung) bercakap berkaitan dengan rakyat, tidak bercakap dengam hal yang ada kaitan dengan rakyat, masih bercakap (dalam kumpulan yang) berlegar dalam satu kelompok yang sama, dalam sistem yang sama,
"Dr Mahathir dengan Anwar Ibrahim nama yang berpuluh-puluh tahun, bergaduh pun sejak tahun 1998, (bertelagah) sampai sekarang, selepas itu sekejap baik, sekejap tak baik, sekejap baik, cium mulut, selepas itu tak cium mulut, lepas itu pula cium mulut balik, ini sudah lama (berlaku)," katanya.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
Mahdzir berkata demikian selepas merasmikan Program Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Kuala Nerang pada Isnin.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama membabitkan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pakatan Harapan (PH), beliau menyatakan semua pihak bebas merencanakan pelbagai strategi untuk menang dalam pilihan raya memandangkan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.
Pada Jumaat, Dr Mahathir menyatakan kesediaan bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.
Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan keyakinan mempunyai matlamat yang sama dengan Anwar dalam mengetepikan BN, malah sedia mengambil langkah pertama ke arah kerjasama itu.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) menolak untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail, ini walaupun PH berkongsi agenda yang sama dengan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad.
#Malaysia Memilih #Mahdzir Khalid #PRU15 #Tun Mahathir #Anwar Ibrahim
;