PRU15: Rakyat sambut baik Dasar Keluarga Malaysia - Ilham Centre

Astro Awani
November 11, 2022 08:00 MYT
Rakyat menerima baik dasar Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tinjauan yang dilakukan oleh Ilham Centre berhubung tahap penerimaan rakyat terhadap kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia mendapati ia disambut baik oleh rakyat Malaysia.
Kaji selidik yang dilakukan selama tiga minggu, bermula 20 Oktober hingga 6 November itu dilakukan terhadap 1,211 responden.
Dalam kenyataan kepada media, Ilham Centre memaklumkan, 77.9 peratus responden bersetuju bahawa Konsep Keluarga Malaysia adalah amat baik dalam menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
Manakala 59.5 peratus responden mengakui bahawa inisiatif, bantuan dan dasar Keluarga Malaysia telah memberi manfaar kepada mereka.
Ilhan Centre menjelaskan kehadiran watak perdana menteri yang "tidak membawa pendekatan jalur keras," kurang kontroversi serta menghargai peranan parti pembangkang menyebabkan suhu politik tempatan menjadi reda.
"Maka, apabila Dasar Keluarga Malaysia diperkenalkan, rakyat terbanyak menerimanya dengan baik.
"Kaum Melayu, masyarakat di luar bandar dan pedalaman menerima dasar ini adalah untuk meletakkan kembali Malaysia ke landasan yang tepat," kata Ilham Centre.
Kaji selidik itu juga mendapati, sebanyak 82.5 peratus responden berpuashati dengan inisiatif Keluarga Malaysia menerusi program "Jamin Kerja dan Diskaun Saman PDRM."
Sebanyak 75.8 peratus responden menyatakan semangat Keluarga Malaysia mampu mengekalkan keamanan dan kerukunan rakyat berbilang kaum.
"Ini menunjukkan secara asasnya, rakyat menerima polisi dan dasar kerajaan yang baik dalam konteks menjaga keharmonian kaum bersesuaian dengan kemajmukan rakyat di Malaysia.
"Ternyata dalam perkara yang melibatkan pemberian one-off, subsidi potongan harga saman, bantuan kerajaan secara mudahnya rakyat amat mengalukan kerana dapat meringankan beban mereka dalam kos sara hidup," katanya lagi.
Kaji selidik itu juga mendapati Dasar Kerajaan Keluarga Malaysia ini adalah baik tetapi ia memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk direalisasikan.
Ilham Centre berpendapat, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memerlukan satu penggal penuh jika ingin menjayakan lagi idea beliau ini selepas Pilihan Raya Umum ini.
#PRU15 #kaji selidik #Keluarga Malaysia #Malaysia Memilih
;