PRU15: Rakyat mahukan kerajaan lebih stabil - Reezal Merican

Dewi Nur Harasha Alias
November 14, 2022 20:04 MYT
Menurut Reezal Merican, beliau memerlukan kemenangan yang jauh lebih meyakinkan di Kepala Batas demi untuk memastikan kerajaan yang bakal terbina nanti benar-benar stabil dan boleh membawa kemakmuran kepada semua.
KEPALA BATAS: Pola pengundian kini menunjukkan rakyat mahukan kerajaan yang lebih menjamin masa depan mereka selepas perit melalui pengalaman di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, rakyat Malaysia juga menuntut sebuah kerajaan yang lebih stabil dibentuk khususnya selepas PRU15.
Katanya, kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU15 jug perlulah mempunyai elemen semak dan imbang antara wakil rakyat atau pemimpin dengan rakyat.
Sehubungan itu, kata Reezal Merican, beliau memerlukan kemenangan yang jauh lebih meyakinkan di Kepala Batas demi untuk memastikan kerajaan yang bakal terbina nanti benar-benar stabil dan boleh membawa kemakmuran kepada semua.
"Kecenderungan hari ini, pola pengundiaan untuk kembali melihat penubuhan kerajaan yang lebih stabil sebab sudah ada eksperimen sebelum ini, apa yang mereka mahukan, apa yang telah dilakukan, kadang-kadang apa yang dilihat tidak menjadi, jadi ia perlu ada institusi yang jauh lebih yang lebih dipercayai, jadi untuk itu kena pastikan ada unsur semak dan imbang , supaya lebih telus .
"Siapa pun yang membentuk kerajaan ia perlu membentuk kerajaan yang stabil dan telus," kata Reezal Merican selepas majlis sesi santai bersama media Pulau Pinang di Wisma UMNO Kepala Batas, di sini, pada Isnin.
Ditanya faktor penentu kemenangan BN di Kepala Batas pada PRU15 ini, Reezal Merican berkata, setiap undi yang diterima adalah penting.
Namun begitu, beliau tidak menolak faktor pengundi muda turut menjadi akan menyumbang kepada kemenangan kelak.
“Semua pengundi penting, tapi saya nampak pola pengundian pengundi muda kali ini akan main peranan banyak sebab majoriti daripada mereka akan mengundi buat kali pertama terutamanya pengundi antara umur 18 hingga 25 tahun… ini paling kritikal.
“Jangkaan saya, usia itu (antara 18 hingga ke 25 tahun) ini adalah kelompok penentu kepada pola pengundian pada PRU15 termasuk di Kepala Batas,” kata beliau.
Mengenai peluangnya untuk mempertahankan kerusi di sandangnya, Reezal Merican berkata, semua calon yang bertanding mempunyai peluang namun, segala-galanya terserah kepada kebijaksanaan para pengundi untuk menentukannya.
Memasuki minggu akhir kempen, Reezal Merican berkata, beliau akan terus menemui pengundi di Kepala Batas bagi memastikan pengundi di situ memberi mandat sekali lagi kepadanya untuk terus menjadi wakil rakyat mereka.
Pada PRU15, Reezal Merican akan ditentang oleh calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Siti Mastura Muhammad serta dua lagi calon iaitu Hamidi Abu Hassan yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Muhammad Danial Abdul Majeed daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
#PRU15 #cuti umum PRU15 #Parlimen Kepala Batas #Reezal Merican Naina Merican
;