PRU15: Rakyat adalah 'boskau', 'bos' kepada pemimpin - Hussamuddin
Ridauddin Daud
Oktober 18, 2022 12:39 MYT
Oktober 18, 2022 12:39 MYT
SHAH ALAM: Rakyat perlu menunjukkan kepada pemimpin bahawa mereka adalah 'bos' kepada pemimpin, tidak lagi hanya ikut pemimpin seperti mana berlaku sebelum ini.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan dalam masa terdekat merupakan medan terbaik untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Menurutnya, Rasuah Busters mengajak rakyat Malaysia untuk keluar undi beramai-ramai dan memilih calon yang berintegriti, bebas rasuah dan bijak.
"Perlu (pemimpin) yang bijak, supaya mereka boleh keluarkan kita daripada masalah yang bertahun-tahun kita hadapi.
"Kami di Rasuah Busters ini seperti oksigen, tiada warna, anda bebas pilih parti mana pun anda mahu. Kami bukan cuba untuk mempengaruhi pilihan anda.
"Tapi, apa yang kami ingin sampaikan…keluarlah mengundi ramai-ramai dan sampaikan mesej kita adalah bos dan kita memilih pemimpin yang akan buat kerja untuk kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran #Satu Jari Sempena Pilihan Raya Umum Ke-15, di sini, pada Selasa yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.
Tambahnya, rakyat dinasihatkan untuk tidak memberi alasan seperti tidak percaya kerana demokrasi dan kerana itu, mereka memilih untuk tidak mengundi.
"Demokrasi ini adalah satu proses dan ia adalah proses yang panjang. Kita lihat apa berlaku empat tahun yang lepas dan kita tidak mahu perkara sama berlaku.
"Kita kena pastikan orang yang kita pilih itu tidak lakukan apa yang mereka lakukan dalam empat tahun setengah sebelum ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Hussamuddin menegaskan, Rasuah Busters adalah bebas dan berkecuali, tidak dipengaruhi mana-mana pihak meskipun ada mendakwa gerakan itu menyebelahi sesetengah pihak.
"Jangan sia-siakan peluang yang diberikan (mengundi di PRU15). Tunjuk yang kita adalaj 'bosskau'.
"Keluarlah mengundi beramai-ramai," tegas beliau.
* Sempena PRU15 yang bakal berlangsung, Astro AWANI mempelawa pembaca untuk menyertai kaji selidik di laman web undi.astroawani.com.