PRU15: Rahman Dahlan kembali, Mohamad Alamin kekal di Kimanis
Hasimi Muhamad
November 2, 2022 15:08 MYT
November 2, 2022 15:08 MYT
KOTA KINABALU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sah kembali ke gelanggang politik selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu diletakkan di kerusi Parlimen Kota Belud, dan akan berdepan penyandang kerusi tersebut Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan (Warisan).
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebentar tadi.
Pada pengumuman tersebut, Bung Moktar mengumumkan 11 calon BN yang akan ditampilkan pada PRU15, dan satu lagi kerusi di Parlimen Beluran masih dalam rundingan.
Penampilan semula Abdul Rahman sekali gus menghentikan desas-desus bahawa beliau akan dicalonkan di kerusi tersebut, sekali gus Datuk Seri Salleh Keruak tidak tercalon.
Pada PRU14, Munirah menang dengan majoriti 4,262 undi menewaskan Salleh dalam pertembungan empat penjuru.
Abdul Rahman menyandang kerusi Parlimen Kota Belud selama dua penggal bermula pada 2008 hingga 2017.
Pada PRU14, Abdul Rahman tewas kepada Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman yang menang dengan majoriti 12,984 undi di Parlimen Sepanggar.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin (BN-UMNO) kekal di kerusi Parlimen Kimanis, yang dimenangi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2020.
Manakala,Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup (BN-PBRS) turut kekal di kerusi Parlimen Persiangan.