PRU15: Pulangkan mandat secepat mungkin, wujudkan kerajaan yang lebih stabil - Pemuda UMNO

Firdaus Azil
Jun 22, 2022 16:56 MYT
Mandat perlu diserahkan kepada rakyat secepat mungkin supaya kerajaan baharu yang dibentuk dapat membuat keputusan yang betul mengenai isu yang membelenggu rakyat, kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Mandat perlu diserahkan kepada rakyat secepat mungkin supaya kerajaan baharu yang dibentuk dapat membuat keputusan yang betul mengenai isu yang membelenggu rakyat, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Asyraf Wajdi, kerajaan yang stabil adalah perlu supaya tidak timbul lagi isu keputusan yang dibuat bergantung kepada tindakan populis atau desakan dari dalam kerajaan itu sendiri.
Sebagai contoh, jelas Asyraf Wajdi, kedudukan UMNO kini hanya 36 peratus dalam kerajaan dan tidak mungkin parti kerajaan lain yang merupakan seteru politik seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional akan terus bersama Barisan Nasional (BN).
“Bagi saya lebih baik serahkan mandat kepada rakyat supaya kerajaan berani buat keputusan yang betul dan bukan hanya bergantung kepada populis atau kerana desakan dalam kerajaan itu sendiri.
“Mana mungkin parti yang berseteru (dalam kerajaan) dapat kekalkan suasana kestabilan. Lebih baik serah kepada rakyat untuk tentukan. (Ketika ini) kita hanya kerajaan untuk stabilkan keadaan. Dulu dalam keputusan rasmi parti BN, bila pandemik berakhir, selepas berjaya capai herd immunity, kena serahkan kepada rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Asyraf Wajid juga berkata, ketika ini negara menghadapi cabaran seperti kenaikan kos sara hidup, inflasi, kenaikan harga bahan api dan sebagainya dan atas sebab itu Pemuda UMNO berpandangan, pilihan raya umum perlu diadakan secepat mungkin bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil.
Mengulas mengenai hasrat Parti Bangsa Malaysia pimpinan Datuk Zuraida Kamaruddin yang ingin menyertai BN pula, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada konsensus empat parti komponen.
Apa yang paling utama juga, kata Asyraf Wajdi, mana-mana parti yang ingin menyertai BN harus setia, dan berjiwa rakyat serta tidak menjadikan BN sebagai platform untuk merebut atau mengekalkan kuasa semata-mata.
“BN ini satu parti yang ada konsensus, siapa juga nak masuk BN perlu ada persetujuan empat parti komponen. Jadi saya sebagai Ketua Pemuda BN, kita boleh suarakan pandangan dalam Dewan Tertinggi BN nanti.
“Tapi yang paling penting siapa juga yang terlibat nak terlibat dengan BN perlu setia dan perlu benar-benar memahami dan menjiwai asas dan idealisme perjuangan.
“Asas perjuangan kami untuk bela rakyat. Kalau ada nilai hanya untuk merebut kuasa, tahu bahawa BN saja boleh jamin kekuasaan mereka, saya rasa mereka harus nilai balik,” katanya lagi.
#PRU 15 #mandat rakyat #Asyraf Wajdi Dusuki #Barisan Nasional
;