PRU15: Program MUDA diganggu serangan mercun

Hilmi Malik
Oktober 22, 2022 23:28 MYT
Program Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sekali lagi diganggu sekumpulan individu tidak diketahui yang muncul membuat provokasi. - Astro AWANI
MUAR: Program Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sekali lagi diganggu sekumpulan individu tidak diketahui yang muncul membuat provokasi.
Insiden pada Sabtu malam itu kali ini dikatakan melibatkan serangan mercun selain turut merosakkan kenderaan milik penyokong MUDA.
Difahamkan serangan itu menyasarkan program 'Majlis Malam Mesra Muo' yang turut merasmikan pelancaran jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ketua Penerangan MUDA Muar, Muhammad Amir Fiqri Mustapha, dianggarkan sekitar 20 individu lelaki bertopeng mengganggu program tersebut.
Kumpulan itu katanya telah mengeluarkan kata-kata kesat selain turut berlaku insiden tolak menolak.
"Belum ada laporan kecederaan diterima dan kami akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar jika perlu," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya lagi, kumpulan itu dipercayai individu yang sama tampil membuat provokasi sewaktu program ceramah di Parit Jawa pada 16 Oktober lalu.
#program MUDA #serangan mercun #PRU15 #Majlis Malam Mesra Muo
;