PRU15: Prinsip, rekod prestasi MUDA tarik PH untuk jalin kerjasama - Howard Lee

Ridauddin Daud
Oktober 13, 2022 17:26 MYT
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Chuan How berkata, beliau percaya PH sudah mempertimbagkan pelbagai aspek, baik positif mahupun negatif sebelum mengumumkan kerjasama dengan MUDA. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Prinsip dan rekod prestasi Parti Ikatan Demokratik Muda Malaysia (MUDA) yang amat menggalakkan setakat ini menarik Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjsama dengan parti tersebut.
Begitupun, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Chuan How berkata, beliau percaya PH sudah mempertimbangkan pelbagai aspek, baik positif mahupun negatif sebelum mengumumkan kerjasama dengan MUDA.
Secara peribadi, bekas Ketua Pemuda PH itu menyambut baik kerjasama tersebut kerana jelasnya, sekarang adalah waktu terbaik untuk “terus menyanggah musuh dan menambah kawan”.
BACA: Anwar umum kerjasama politik PH-MUDA hadapi PRU15
“Saya sudah tentu, dengan ramainya kawan yang berada di barisan hadapan MUDA, pucuk pimpinan MUDA, saya secara peribadi menyambut baik kerjasama dan khususnya dalam konteks politik terkini.
“Saya sentiasa berpegang kepada nukilan dan tulisan Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said yang juga ahli DAP, bahawasanya kita wajar mendaki puncak yang jauh.
BACA: Dengar dulu suara akar umbi sebelum terima MUDA - Akmal
“Gelora dan taufan tidak mencalar tekad kita kerana kemerdekaan menghasut kita bersuara dalam sopan dan ini penting…yakin menyanggah musuh tulus menambah kawan kerana inilah tongkat dan menara kebahagiaan.
“Kita perlu sentiasa berpegang kepada menyanggah musuh dan menambah kawan. Frasa menambah kawan, dalam konteks ini (kerjasama PH dan MUDA), inilah yang paling penting,” katanya kepada Astro AWANI.
PRU15 | Media sosial MUDA bawa manfaat kepada PH
Astro AWANI sebelum ini melaporkan PH akan mengadakan kerjasama politik dengan MUDA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum le-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.
Katanya lagi, permohonan MUDA untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diperoses, kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.
Malaysia Memilih: Di sebalik kerjasama PKR dan MUDA
-ENDS-
#muda #Pakatan Harapan #Howard Lee #PRU15
;