PRU15: Presiden Pas, Abdul Hadi Awang selesai mengundi di Marang
Nur Fazlizai Ali
November 19, 2022 12:06 MYT
November 19, 2022 12:06 MYT
MARANG: Presiden Pas,Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan Rusila, di sini pagi ini.
Abdul Hadi yang juga Calon Parlimen Marang itu tiba di pusat pembuangan undi ini sekitar jam 8.50 pagi dengan ditemani isterinya, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah dan anaknya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk Dr Muhammad Khalil.
Beliau kemudiannya selesai melunaskan tanggungjawab itu 10 minit kemudian.
Sebanyak tujuh saluran dibuka untuk melancarkan proses pembuangan undi kira-kira 4,000 pengundi berdaftar di pusat pembuangan undi tersebut.
Abdul Hadi juga sempat beramah mesra dengan pengundi yang berada di luar SK Rusila untuk mengundi.
Pada PRU kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru di Parlimen Marang.
Abdul Hadi yang juga penyandang kerusi parlimen berkenaan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, Pakatan Harapan (PH), Azhar Abdul Shukur dan calon Gerakan Tanah Air - Parti Pejuang Tanah Air (GTA-Pejuang), Dr. Zarawi Sulong.
Menerusi PRU14 lalu hadi memenangi kerusi parlimen marang dengan majoriti 21,954 undi.