PRU15: Presiden MIC nyanyi lagu 'Suci Dalam Debu'

Abd Razak Mohd Ali
November 7, 2022 12:54 MYT
SA Vigneswaran menyanyikan lagu popular kumpulan Iklim yang bertajuk Suci Dalam Debu dalam kempen PRU15 diiringi oleh petikan gitar oleh seorang petugas bilik gerakan BN. - Foto Astro AWANI
SUNGAI SIPUT: Pelbagai cara digunakan oleh calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika berkempen untuk mengambil hati pengundi dan penyokongnya.
Misalnya, calon Parlimen Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran menyanyikan lagu popular kumpulan Iklim yang bertajuk Suci Dalam Debu dalam kempen PRU15.
Beliau yang juga Presiden MIC menyanyikan lagu itu ketika melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di Sungai Siput.
Presiden MIC nyanyi lagu Suci Dalam Debu
Menurut Setiausaha Akhbarnya, Siva Subramaniam, calon Parlimen itu menyanyikan lagu popular dendangan Allahyarham Saleem bagi memenuhi permintaan petugas di bilik gerakan berkenaan.
Beliau menyanyikan lagu itu dengan diiringi petikan gitar salah seorang petugas di bilik gerakan tersebut.
Vigneswaran juga dapat menyanyi dengan nada serta irama yang baik sambil merujuk lirik di telefon bimbit.
Kerusi Parlimen Sungai Siput menyaksikan pertembungan tujuh penjuru membabitkan Vigneswaran bersama enam calon melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan tiga calon Bebas.
Penyandang, S Kesavan mewakili PH akan dicabar Vigneswarandari BN; Datuk Seri G. Irudianathan, (Perikatan Nasional) dan Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang).
#PRU15 #senarai calon BN PRU15 #Vigneswaran #Suci Dalam Debu
;