PRU15: Poster Karupaiya masih tergantung di sepanjang jalan Padang Serai
Umavathi Ramayah
November 18, 2022 22:27 MYT
November 18, 2022 22:27 MYT
PADANG SERAI : Dua hari selepas kematian calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh baharu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kawasan berkenaan.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar Parlimen Padang Serai hari ini mendapati poster-poster kempen yang memaparkan wajah mendiang masih lagi tergantung di merata-rata tempat, malah keadaan sama dilihat di bilik gerakan parti itu.
Melihat poster itu, mereka yang rapat atau mengenali Karupaiya pastinya mengimbas kembali kenangan bersama mendiang, apatah lagi jasa-jasa beliau ketika menjadi ahli Parlimen di kawasan itu sejak tahun 2018.
Beberapa pengundi yang ditemui turut menyifatkan pemergian calon PKR itu sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat Padang Serai.
Meskipun sebelum ini Padang Serai bukanlah satu kerusi panas namun kematian calon PKR itu secara tidak langsung mengalihkan mata rakyat Malaysia ke utara Semenanjung.
Ia sekali gus mencetuskan kontroversi dan polemik antara pakar-pakar perundangan sebelum ini sama ada pilihan raya perlu diteruskan atau sebaliknya.
Memetik penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran, dalam sejarah pengurusan pilihan raya, SPR pernah menangguh proses pengundian bagi kerusi Parliman Melaka Selatan, Melaka pada PRU 1982, selepas salah seorang calonnya, Datuk Mohammad Taha Taib mati ditembak pada 14 April iaitu lapan hari sebelum hari pengundian.
Bagaimanapun, Ketua Pasukan Petugas Khas Demokrasi dan Undang-undang Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pilihan raya di Padang Serai perlu diteruskan tanpa SPR menetapkan tarikh baharu atau menangguhkan PRU15.
Katanya, ini kerana dalam Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, menyatakan SPR hanya boleh menetapkan tarikh baharu sebelum pengundian dimulakan sama ada melalui pengundian awal atau menjelang hari pengundian.
Polemik itu terlerai hari ini apabila SPR mengumumkan menetapkan PRU Parlimen Padang Serai pada 7 Disember depan,
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memberitahu, tiada pengundian dijalankan di Parlimen Padang Serai esok.