PRU15: Poster calon PH DUN Triang dirosakkan individu tidak dikenali
Fareez Azman
November 6, 2022 23:10 MYT
November 6, 2022 23:10 MYT
BERA: Calon N.38 Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Pakatan Harapan (PH), Leong Yu Man kecewa susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kain rentang dan posternya di Triang di sini pada Ahad.
Jelas Yu Man, tindakan terbabit sepatutnya tidak berlaku dalam proses demokrasi yang aman dan adil.
“Sekarang saya berada di simpang masuk ke Triang, saya terima satu laporan poster kita, 'bunting', bendera telah dirosakkan individu tidak dikenali.
“Ini yang baru berlaku di simpang masuk ke bandar Triang. Saya tak pasti siapa buat hal ini, saya sangat sedih.
“Sepatutnya ini kempen pilihan raya yang sihat di mana kita bersaing secara aman dan adil,” jelasnya dalam menerusi laman Facebooknya hari ini.
Tambah Yu Man, tindakan itu merosakkan bahan kempen yang menggunakan dana kutipan awam olehnya.
Justeru, katanya satu laporan polis akan dibuat berhubung kejadian itu.
“Saya mengecam pihak buat kerosakan terhadap bahan kempen kita. Kita pembangkang, semua bahan kempen kita, perbelanjaan kita, guna dana dikutip daripada masyarakat.
“Kita tiada peruntukan yang dikutip daripada kerajaan atau mana-mana pihak atasan. Saya berharap tingkah laku ini boleh dihentikan.
“Biarlah kita melakukan satu kempen pilihan raya bersih, adil dan bersaing secara saksama. Kita akan ambil tindakan dan buat laporan polis,” jelasnya lagi.
Yu Man bakal berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN) Izzuddin Zulkifli dan Yee Cheng Hwa dari Barisan Nasional (BN)
Dalam PRU14 lalu, Yu Man yang menyandang kerusi Triang sejak tahun 1990 itu berjaya pertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 6,454 undi apabila memperoleh 11,222 undi menewaskan Tan Tin Loon dari BN yang memperoleh 4,768 undi.