PRU15: Polis Pulau Pinang galak calon, parti politik mohon permit 'walkabout'

Umavathi Ramayah
November 11, 2022 15:58 MYT
Mohd Zain berkata adakalanya ketika walkabout, calon mungkin secara tidak sengaja akan berhenti dan berucap, justeru perkara itu sudah dianggap berceramah. - Fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menggalakkan semua parti politik dan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini supaya mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum mengadakan program turun padang atau walkabout.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam konteks kempen PRU, undang-undang secara khusus mengatakan walkabout tidak memerlukan permit.
Namun demikian katanya, ketika walkabout, calon mungkin secara tidak sengaja akan berhenti dan berucap, justeru perkara itu sudah dianggap berceramah.
“Sebab itu, saya amat menggalakkan parti politik atau calon untuk mengelakkan sebatang tohmahan daripada mana-mana pihak, supaya memohon permit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.
Mohd Shuhaily menjelaskan, pada dunia hari ini, orang ramai gemar untuk merakam sesuatu perbuatan dan menularkan video berkenaan.
.
“Justeru kalau apa-apa berlaku boleh beritahu mereka ada permit, maka tidak ada isu jika tindakan itu dipersoalkan kelak,” tambahnya lagi.
Beliau memberitahu, sehingga Khamis, polis Pulau Pinang meluluskan 210 permit permohonan parti politik untuk mengadakan ceramah di negeri itu.
Semalam, Setiausa Agung DAP, Anthony Loke meminta polis Perak menilai semula peraturan yang dikenakan kepada semua calon di negeri itu supaya mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum mengadakan program walkabout.
Ia susulan polis Perak menetapkan calon atau ejen untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah sebelum program walkabout dijalankan di negeri itu.
#PRU15 #program walkabout #mohon permit #polis pulau pinang
;