PRU15: PN perlu menang di Pulau Pinang untuk bentuk kerajaan - Hadi

Dewi Nur Harasha Alias
November 13, 2022 05:45 MYT
Hadirin mendengar ucapan Abdul Hadi pada ceramah perdana di Kubang Semang, Penanti pada Ahad malam. -Foto Astro AWANI
PERMATANG PAUH: Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang perlu menang bagi menyumbang dua pertiga majoriti untuk membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata PN perlu menang kerusi di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Balik Pulau untuk mendapat majoriti dua pertiga tersebut.
Beliau berkata, gelombang dan kebangkitan rakyat terhadap PN semakin jelas berdasarkan sokongan rakyat yang ditunjukkan ketika ini.
Abdul Hadi berkata, Pas sendiri memilih berada di dalam PN demi penyatuan ummah dan beliau berharap pengundi tidak lagi terpedaya dengan janji manis Pakatan Harapan pada PRU kali ini.
"Kita harap rakyat pilih Perikatan Nasional, seboleh-bolehnya kena dapat majoriti dua pertiga.
"Untuk dapat majoriti 2/3, maka Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau semua yang kita bertanding itu mesti dimenangkan.
"Insya-Allah, untuk dapat majoriti dua pertiga, untuk layak menyatukan kita, kita pakai simbol Perikatan Nasional, warna biru.
"Insya-Allah kita berpadu dan undi Perikatan Nasional, 20 Nov kita tubuh kerajaan dengan izin Allah," kata Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PN mampu meraih kemenangan di Perlis dan Pahang berdasarkan gelombang baharu sokongan rakyat di kedua-dua negeri itu dengan adanya pemimpin UMNO yang digugurkan dari bertanding pada PRU15 bertanding atas tiket PN.
Katanya, PN memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin berkenaan selepas mereka dicantas parti sendiri seterusnya membangkitkan gelombang PN di Perlis dan Pahang.
"Kita nak selesaikan masalah, kita ambil Datuk Seri Shahidan (Kassim) bertanding atas nama PN di Perlis, Ismail (Abdul) Muttalib tanding di Pahang.
"Kita nak urus tempat lain tak mampu masa dekat sangat. Kita dapati bila kita buat begini, ada gelombang di Perlis dan Pahang. Insya-Allah Perlis dan Pahang kita tawan dalam PRU ini," kata Abdul Hadi lagi.
Abdul Hadi berkata demikian dalam ceramah perdana di Kubang Semang, Penanti pada Ahad malam.
Hadir sama, dua calon PN daripada PAS, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dan Steven Koh (PAS-DHPP) serta barisan kepimpinan Pas Pulau Pinang.
#Abdul Hadi Awang #PRU15 #Perikatan Nasional #Shahidan Kassim
;