PRU15: PN Perak sudah muktamadkan agihan kerusi DUN

Bernama
Oktober 9, 2022 04:20 MYT
Ahmad Faizal berkata Bersatu, Pas dan Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sudah mencapai kesepakatan mengenai pengagihan kerusi DUN menerusi perbincangan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA KANGSAR: Pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perak telah dimuktamadkan.
Pengerusi PN Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu, Pas dan Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sudah mencapai kesepakatan mengenai pengagihan kerusi DUN menerusi perbincangan.
"Walaupun kita tidak tahu bila tarikh PRU15 tetapi PN Perak sudah bersedia dan kita telah selesai dari segi pengagihan kerusi untuk ketiga-tiga parti.
"PN baru dua tahun penubuhannya namun dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan insya-Allah, kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran PN Negeri Perak dekat sini malam tadi.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu.
Hadir sama Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria, Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Ahmad Faizal berkata PN Perak yakin mempunyai kekuatan mencukupi untuk mengambil alih kerajaan negeri pada PRU15.
"Peluang kita amat cerah untuk ambil alih dan kita yakin dengan pelbagai program yang dijalankan parti di peringkat negeri kita mampu mencapai kemenangan di Perak hasil kerjasama tiga parti utama ini.
"Gabungan parti kita sudah bersepakat dan di Perak ni pun kita bergerak atas nama PN malah fokus kita akan terus mengukuhkan lagi kekuatan sesama parti komponen dalam gabungan PN," katanya.
-- BERNAMA
#PRU15 #bubar parlimen #PN Perak #Ahmad Faizal Azumu
;