PRU15: PN Perak belum putuskan calon MB - Zainol Fadzi

Amirrul Rabbani
November 3, 2022 17:52 MYT
Datuk Zainol Fadzi Paharudin menunjukkan senarai nama calon-calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pengumuman calon-calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak masih belum memutuskan sebarang nama bagi calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan di negeri berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata walau bagaimanapun, perkara itu mungkin akan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.
“Tidak tidak pernah bincang soal itu, tetapi saya yakin kepimpinan PN akan buat keputusan. Ini kerana, kita ada perancangan dari segi manifesto dan sebagainya.
“Saya ingat, selepas selesai sahaja urusan penamaan calon, akan ada proses-proses ataupun pengumuman-pengumuman dibuat kepimpinan tertinggi di negeri sama ada tentang menteri besar ataupun manifesto dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman calon PRU15 bagi PN Perak di Pejabat PN Negeri sini pada Khamis.
Zainol Fadzi terdahulu ditanyakan sama ada PN akan turut menamakan calon Menteri Besar sekiranya menang PRU15 di Perak sepertimana diumumkan Pakatan Harapan (PH).
Media sebelum itu melaporkan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Perak sekiranya PH menang di negeri itu pada PRU15.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR )Rafizi Ramli dilaporkan berkata, ia adalah ‘perjudian besar’ bagi PH dengan menamakan Zainal sebagai calon menteri besarnya, tetapi menegaskan ia adalah keputusan yang tepat.
Zainal yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri Perak dijangka bertanding di kerusi DUN Kuala Sepetang.
#PRU15 #PN Perak #calon MB #Perikatan Nasional
;