PRU15: PM selesai menghadap Agong di Istana Negara
Hafizi Rosli
November 21, 2022 16:54 MYT
November 21, 2022 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara jam 4.15 petang tadi selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Namun tujuan sesi menghadap antara Perdana Menteri dan Seri Paduka Baginda masih menjadi tanda tanya media, termasuk sama ada berhubung sembah maklum mengenai urus tadbir negara sebagai ‘caretaker’ atau berhubung pembentukan kerajaan baharu.
Cubaan media mendapatkan respons Ismail Sabri juga tidak berjaya kerana beliau tidak memberhentikan kenderaannya.
Ketika ini media masih lagi 'berkampung' di kedua-dua pintu Istana Negara bagi mengikuti rapat perkembangan pembentukan kerajaan baharu pasca-Pilihan Raya Umum (PRU15).
Terdahulu Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dilihat memasuki perkarangan Istana Negara sekitar jam 2.45 petang.
Sebelum ini, Seri Paduka Baginda memberi perkenan agar proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan Perdana Menteri dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang Selasa.
Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu serta pencalonan Perdana Menteri ke-10 selesai.
Dalam masa sama, pentadbiran negara berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri sementara berdasarkan prinsip-prinsip digariskan bagi kerajaan sementara.