PRU15: PKR tanding 21 kerusi DUN di Perak
Bernama
November 3, 2022 20:36 MYT
November 3, 2022 20:36 MYT
IPOH: PKR Perak mengumumkan akan bertanding 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan menampilkan 17 muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
Pengerusinya, Chang Lih Kang, berkata daripada jumlah itu, 11 calon adalah berusia bawah 40 tahun dengan calon termuda, Mohamad Jamean Zulkepli, berusia 28 tahun, bertanding di DUN Kenering.
"Lima calon merupakan bekas penjawat awam terdiri daripada tenaga pengajar serta bekas Ketua Setiausaha kementerian dan kita juga turut menampilkan lima calon wanita," katanya pada sidang media sempena pengumuman calon, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai langkah yang akan diambil bagi mengelakkan lompat parti, Chang berkata pindaan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti diletakkan sebagai agenda utama sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
"Selain daripada itu semua calon kita telah menandatangani aku janji, selain pengisytiharan harta. Wakil rakyat yang telah dipilih tidak boleh lompat parti atau khianat mandat rakyat, kalau berlaku, mereka perlu bayar pampasan yang sangat tinggi," katanya.
Sementara itu, Chang berkata belum tiba masanya untuk menentukan atau meletakkan seseorang sebagai calon Menteri Besar (MB).
"Memang tidak ada perbincangan dan persetujuan buat masa ini untuk memilih calon sebagai MB, namun kita mempunyai ramai calon yang layak untuk duduk kerusi itu.
"Paling penting kena menang dahulu PRU15, memang kita akui calon kita di Kuala Sepetang, Datuk Zainal Azman Abu Seman seorang calon yang berwibawa namun fokus kita harus memenangi dahulu untuk kembali mentadbir," katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengesahkan PH telah menamakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar sekiranya PH berjaya menawan negeri itu.
-- BERNAMA