PRU15: PKR lantik Timbalan, Naib Presiden ketuai negeri - Anwar

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 11, 2022 18:19 MYT
Anwar (tengah) bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak di Ipoh, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat perubahan apabila melantik Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Ia berbeza berbanding sebelum ini apabila Ketua-Ketua Cabang memilih seorang di kalangan mereka sebagai Pengerusi MPN.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan itu dibuat bagi membolehkan Timbalan atau Naib-Naib Presiden yang dilantik memimpin jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Tumpuan kita adalah pilihan raya, walaupun sebelum ini Saudara Lee Boon Chye mengepalai dalam keadaan transisi dulu dan sebelum itu Saudara Farhash yang menjalankan tugas dengan memuaskan tetapi sekarang tugasnya berbeza tumpuannya sepenuhnya dalam pilihan raya," katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak di Ipoh, pada Khamis.
Pada majlis itu, Anwar mengumumkan Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang sebagai Pengerusi MPN Perak.
Sementara itu, Lih Kang yang ditemui berkata, beliau akan mengumumkan pelantikan barisan MPN Perak dalam masa terdekat.
Menurutnya, barisan pimpinan itu akan terdiri dari pelbagai latar belakang yang mempunyai pengalaman dalam menghadapi pilihan raya.
#PKR #Anwar Ibrahim #Majlis Pimpinan Negeri #PRU15
;