PRU15: PH yakin rampas kembali Perak

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 9, 2022 08:30 MYT
Rafizi berkata, jika tidak pada PRU15, ia mungkin akan berlaku pada PRU berikutnya. -Gambar fail
IPOH: Pakatan Harapan (PH) yakin dapat merampas kembali Perak, seperti yang pernah mereka dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, jika tidak pada PRU15, ia mungkin akan berlaku pada PRU berikutnya.
Beliau berkata, rakyat semakin sedar dan tidak lagi boleh dimomokkan dengan cerita kononnya kerajaan 22 bulan PH gagal.
"Kita kena buat yang terbaik supaya kita menang kali ini, kalau pun tak menang… tak apa, tapi pastikan ada perubahan dan lonjakan yang cukup baik.
"Tunggu masa sahaja kerusi-kerusi macam Tapah, kerusi macam Ayer Kuning, kerusi macam Chenderiang... Perak secara keseluruhannya tunggu masa saja untuk kita ambil alih sebagai kerajaan Pakatan Harapan.
"Harap-harapnya dia tak akan ambil masa yang cukup panjang," katanya.
Beliau ditemui selepas berucap di program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Tapah, pada Sabtu malam.
PH pernah membentuk kerajaan di Perak selepas PRU14 tetapi hanya bertahan 22 bulan, ekoran 'Langkah Sheraton' yang turut menyaksikan kerajaan PH di Pusat tumbang.
Sebelum itu, pada PRU12, Perak pernah diperintah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas.
Bagaimanapun, ia hanya bertahan 11 bulan apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti menjadi ADUN Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
#PH #PRU15 #Rafizi Ramli #rampas perak
;