PRU15: PH tawan semula Nibong Tebal
Dewi Nur Harasha Alias
November 19, 2022 01:42 MYT
November 19, 2022 01:42 MYT
NIBONG TEBAL: Pakatan Harapan (PH) merampas semula kerusi Parlimen Nibong Tebal selepas calon muka baharu dari PKR, Fadhlina Sidek, menang di kerusi tersebut.
Beliau menewaskan Datuk Mansor Othman daripada Perikatan Nasional (PN), yang merupakan penyandang kerusi berkenaan selama dua penggal, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Fadhlina memperoleh undi sebanyak 42,188 menewaskan Mansor yang hanya mendapat undi sebanyak 25,895, dengan majoriti undi sebanyak 16,293.
Sementara itu, calon muka baharu Barisan Nasional (BN) pula, Datuk Seri R S Thanenthiran terpaksa akur apabila hanya memperoleh undi sebanyak 10,660 undi, manakala calon Bebas Goh Kheng Huat sekadar memperoleh 565 undi, dengan jumlah undi ditolak 1,021 undi.
Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon BN, PH, PN dan Bebas.