PRU15: PH Sarawak masih terbuka rundingan kerusi bersama parti selain GPS

Fadilah Sulaiman
September 2, 2022 09:04 MYT
Chong Chieng Jen (tengah) menjelaskan PH Sarawak akan mengekalkan pembahagian kerusi sama seperti PRU14 namun setiap komponen dibenarkan berunding dengan parti lain selain komponen GPS. - Astro AWANI
KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak masih terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri itu untuk pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata kelonggaran diberikan kepada komponen parti iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk berunding bersama parti lain sebagai strategi menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Untuk itu, PH Sarawak telah bersetuju untuk kekal dengan pembahagian kerusi antara komponen parti berdasarkan pembahagian sama semasa PRU14 pada tahun 2018.
“Kami telah bersetuju dengan pembahagian kerusi yang akan ditandingi kelak. Tetapi antara kerusi yang telah dibahagikan kepada komponen parti masing-masing itu, kami membenarkan mereka untuk berunding pembahagian kerusi bersama parti selain GPS sama ada untuk menyerahkan mana-mana kerusi jadi mereka tidak perlu merujuk PH semula untuk menentukan.
“Maksudnya kita berikan kelonggaran kepada komponen parti PH untuk berunding sendiri bagi kerusi yang telah dibahagikan sesama kami,” katanya selepas mempengerusikan satu mesyuarat PH Sarawak di ibu pejabat DAP Sarawak dekat sini pada Jumaat.
Pada PRU14, di Sarawak DAP telah memenangi enam daripada sembilan kerusi yang ditandingi, sementara PKR menang empat daripada 15 kerusi ditandingi, manakala Amanah kalah di semua enam kerusi ditandingi.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Stampin itu menambah kerusi penyandang adalah kerusi yang tidak boleh dirunding untuk diserah kepada parti lain sekali gus memberi bayangan bahawa mereka akan mempertahankan kerusi masing-masing di PRU15 kelak.
“Jadi kerusi penyandang adalah tidak boleh dirunding kerana sedia maklum dalam mana-mana pilihan raya, penyandang sememangnya mempunyai kelebihan atau nilai tambah di kawasannya.
“Bagi saya apa yang penting ialah untuk kami bersatu demi menyelesaikan urusan yang belum selesai iaitu melakukan reformasi kepada negara kita, itulah matlamat kita,” tambahnya.
Untuk makluman, parti pembangkang kini memegang 10 daripada keseluruhan 31 kerusi parlimen Sarawak.
Ia termasuk enam kerusi DAP, satu PKR, satu Parti Sarawak Bersatu (PSB), satu Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan satu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
#PRU15 #DAP #Pakatan Harapan #GPS