PRU15: PH Kelantan umum tanding semua kerusi Parlimen, DUN

Vivi Sumanti
September 2, 2022 23:50 MYT
PH Kelantan yang mengadakan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada hari ini telah membuat keputusan secara konsensus. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) Kelantan mengumumkan untuk meletakkan calon di kesemua 14 kerusi Parlimen dan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Setiausaha PH Kelantan, Rushdan Mustafa, pihaknya akan memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dalam masa terdekat.
"PH Kelantan yang mengadakan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada hari ini telah membuat keputusan secara konsensus," katanya di sini, malam ini.
Sebelum ini, UMNO Kelantan turut mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dun negeri itu pada PRU15.
Dalam pada itu, Rushdan berkata, AGM juga memutuskan melantik Pengerusi Parti Amanah Kelantan, Muhamad Husain sebagai Pengerusi PH Kelantan.
"Tiga timbalan pengerusi PH Kelantan terdiri dari Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua DAP negeri, Datuk Azaha Ab Rani dan Timbalan Pengerusi Amanah negeri Che Ibrahim Mohamed," katanya.
Katanya, Pengarah Pilihan Raya PH Kelantan pula disandang oleh Datuk Wan Ab Rahim Wan Abdullah.
Beliau berkata, Ketua Pemuda PH Kelantan dipangku oleh Mohd Zulhazmi Hassan manakala Ketua Wanita Nor Azmiza Mamat.
#PRU15 #PH Kelantan #semua kerusi Parlimen #DUN
;