PRU15: PH Johor umum senarai calon 3 November

Hilmi Malik
Oktober 25, 2022 14:27 MYT
Dzulkefly berkata, setakat ini pembahagian utama melibatkan komponen parti utama itu telah pun dimuktamadkan. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengumumkan senarai calon Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal bertanding di 26 kerusi Parlimen pada 3 November.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini pembahagian melibatkan parti komponen utama telah pun dimuktamadkan.
“Kita dalam kalangan tiga parti utama komponen PH Johor telah pun selesai pembahagian kerusi dan yang ada adalah penentuan kepada calon-calon bagi setiap kerusi yang kita tandingi.
“Kalau boleh kita nak menang semua 26 kerusi Parlimen di Johor, sebab kerusi yang kita bahagikan di kalangan tiga parti adalah kerusi yang ditinggalkan oleh Bersatu.
“Di Johor kita ada 10 kerusi Parlimen yang ditinggalkan oleh Bersatu, lima daripadanya telah menang termasuk Pagoh (Bersatu) jadi baki 10 kerusi itu yang kita bahagikan antara parti komponen utama,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama parti politik di Iskandar Puteri pada Selasa.
Selain itu, beliau turut memberi bayangan bahawa Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah) bakal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada PRU15.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI
Ditanya sama ada MUDA turut terlibat dengan pembahagian itu, bekas Adun Kota Iskandar itu menyatakan ia hanya melibatkan komponen utama parti.
“Seperti PRN Johor dulu, proses kita peringkat pertama adalah penyelesaian kita dalam kalangan peringkat parti-parti komponen utama dan perkara itu telah selesai.
“Sekarang ini adalah peringkat rakan-rakan kita khususnya daripada MUDA yang sedang diadakan perbincangan dan akan selesai dalam masa terdekat, mungkin minggu depan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Dzulkefly menyatakan PH Johor telah menyumbang lebih 60 peratus kerusi Parlimen pada PRU14 yang lalu.
Dalam pada itu PH Johor katanya telah menerima mandat daripada Majlis Presiden PH supaya memenangi sebanyak mungkin kerusi di Johor dalam misi untuk kembali menawan Putrajaya.
“Kita dah buat kategori untuk setiap Parlimen yang mungkin perlu diberi tumpuan, fokus, serta kawasan yang perlu kita kerja keras.
“Ini untuk pastikan kemenangan dan kita sedia untuk ulangi kembali kejayaan PRU14 yang tertangguh akibat langkah Sheraton pada Mac lalu,” ujarnya lagi.
#Malaysia Memilih #PH Johor #PRU15 #Dzulkefly Ahmad
;