PRU15: PH guna satu logo kerana ambil iktibar dari PRN sebelum ini - Anwar

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 25, 2022 09:09 MYT
Kata Anwar penggunaan logo sendiri sebelum ini seakan menggambarkan bahawa terdapat perpecahan dalam Pakatan Harapan. - Foto Sinar Harian
SUBANG: Keputusan PKR untuk bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang adalah kerana mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR berpandangan adanya keperluan untuk menggunakan logo sendiri sebelum ini.
Namun jelasnya, ia seakan menggambarkan bahawa terdapat perpecahan dalam Pakatan Harapan.
“Dalam pilihan raya Johor, PKR bertanding menggunakan logonya sendiri tetapi ini nampak seperti wujud perpecahan, kami dikecam kerananya.
"Jadi dalam mesyuarat majlis presiden Pakatan malam tadi, kami bersetuju bahawa lebih baik menggunakan logo yang sama pada pilihan raya umum akan datang," kata Anwar kepada pemberita selepas hadir selaku ahli panel pada Forum Scripting Malaysia’s Economic Future’ di sini hari ini.
BACA: PRU15: PH bertanding guna satu logo, reka bentuk baharu
Bagi parti Pakatan Sabah dan Sarawak, Anwar berkata terpulang kepada budi bicara kepimpinan mereka untuk menggunakan logo gabungan itu pada PRU15.
Jelasnya mereka boleh membuat keputusan untuk menggunakan logo parti mereka sendiri atau logo Pakatan, (terpulang) kepada mereka berdasarkan kuasa autonomi yang dimiliki mereka.
#Anwar Ibrahim #PKR #PRU15 #Pakatan Harapan