PRU15: PH belum muktamad pengagihan kerusi termasuk yang ditinggalkan Bersatu- Mahfuz
Aida Aziz
Julai 3, 2022 14:15 MYT
Julai 3, 2022 14:15 MYT
IPOH: Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan soal pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk kerusi yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan tersebut akan dibincangkan bersama-sama parti komponen dalam PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Kita dalam proses untuk pengagihan kerusi tersebut, sampai masanya kita akan umumkan berapa jumlah yang diperolehi oleh parti politik komponen.
"Untuk kerusi Bersatu yang ditinggalkan kita akan bincang untuk membuat pengagihan dalam PH, belum dimuktamadkan lagi dan dalam proses.
"Buat masa sekarang kita belum sampai peringkat kerusi-kerusi yang majoriti Melayu (Bersatu) itu telah disepakati bahawa yang bertandingnya adalah Amanah dengan PKR," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Konvensyen Amanah Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi.
Ketika ditanya pemberita sama ada PH mempunyai peluang cerah dalam PRU15 memandangkan situasi perpecahan dalam parti lawan, beliau mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesan.
Bagaimanapun katanya, apa yang penting sekarang adalah kesedaran rakyat dalam menolak kepimpinan dan kelompok kleptokrat.
"Saya fikir begini, dari segi peluang ya memang saya akui (perpecahan dalam UMNO) sedikit sebanyak memberikan penyumbang untuk ke arah itu (kebangkitan PH).
"Tetapi bagi saya sekarang ini bukan soal peluang Amanah, PH menang dan sebagainya, tetapi peluang rakyat untuk dapat kesedaran.
"Supaya rakyat dengan sendirinya menyedari bahawa kelompok kleptokrat dan pengkhianat ini mesti ditolak oleh rakyat," katanya lagi.