PRU15: Petani Ke Parlimen - Misi besar digalas petani moden, Azizul Julirin di Ranau

Hasimi Muhamad
November 14, 2022 10:10 MYT
Azizul menawarkan lima teras dan 32 strategi jika diberikan mandat pada PRU15 ini - Foto Facebook Azizul Julirin
RANAU: Petani ke Parlimen. Ini agenda utama yang digalas calon muka baharu daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di kerusi Parlimen Ranau, Azizul Julirin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pemuda berusia 34 tahun itu mahu mengangkat suara petani ke peringkat nasional, melalui pemerkasaan sektor pertanian dan penternakan di Parlimen berkenaan.
Azizul, yang juga 'petani moden' di Kundasang berkata, keputusan bertanding dalam PRU kali ini dibuat bagi memastikan kebajikan petani tidak lagi dipandang sepi.
"Kalau kita boleh menghantar profesional seperti doktor, peguam, jurutera, dan profesion lain seperti artis dan kelompok Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mewakili segmen mereka dan menghantar suara mereka ke Parlimen, kenapa tidak kita hantar suara petani?
"Petani yang memahami denyut nadi keperitan, dan keperluan kelompok ini yang merupakan waktu yang sangat penting dalam proses untuk menghasilkan makanan untuk memastikan sekuriti makananan negara berada pada tahap yang terbaik dan cukup setiap masa," katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
BACA: PRU15: Mahu kalahkan kerusi pengkhianat? Anwar yang pengkhianat - Jonathan
Bagi manifestonya di kerusi Ranau, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Akuakuktur daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menambah, sebanyak lima tawaran teras dan 32 strategi telah dirangka, dengan teras pertama melibatkan pemerkasaan sektor pertanian dan penternakan.
Berdasarkan maklum balas daripada kelompok petani dan penternak, Azizul berkata antara isu yang menghimpit kumpulan berkenaan adalah kenaikan kos seperti baja, racun serta makanan ternakan.
"Maka, manifesto saya bagi strategi yang pertama pada teras pemerkasaan sektor pertanian dan penternakan ialah untuk kita dirikan sebuah kilang pemprosesan baja organik yang mana berasaskan sisa pertanian.
"Ini membolehkan para petani mendapatkan baja berkualiti dengan kos yang lebih berpatutan, dan meningkatkan pendapatan.
"Selain itu, mewujudkan sebuah kilang pemprosesan makanan ternakan berasaskan palm kernel cake (PKC) atau hampas kelapa sawit yang kita eksport ke luar negara untuk dijadikan bekalan makanan dan beli.
"Kenapa kita tidak wujudkan industri yang boleh mewujudkan makanan ternakan? Kepakaran itu kita ada, bukan sekadar di negara atau negeri lain, tetapi di Sabah sendiri," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Azizul berkata dia mendapati peningkatan dan trend menjadi usahawan agro semakin mendapat tempat dalam kalangan para belia.
Begitu pun, ujarnya, kumpulan berkenaan menghadapi kekangan seperti ilmu pengetahuan, pendanaan serta fasiliti.
Pembangunan infrastuktur
Dalam pada itu, Azizul berkata pembangunan insfrastruktur turut digariskan dalam teras kedua termasuk memastikan penduduk di Ranau menikmati perkhidmatan elektrik, air, dan jalan raya.
Melalui tawaran tersebut juga, pihaknya menyasarkan untuk mengurangkan 30 hingga 50 peratus kesesakan jalan raya yang berlaku pada waktu-waktu puncak disebabkan oleh jalan-jalan alternatif yang sedia ada tidak diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan yang sangat teruk.
Justeru itu, Azizul menambah dalam tempoh lima tahun jika dia diberikan mandat, empat jalan alternatif akan dinaik taraf.
Ia melibatkan Jalan Kundasang Lama-Serapong-Kenipir; Jalan Kauluan-Pinausok; Jalan Kundasang Lama-Pinausok; serta Jalan Montoki-Lipasu-Kibbas.
"Selain itu kita juga akan memperjuangkan jalan raya yang menghubungkan Timbua sehingga menuju ke Karagasan. Dalam tempoh lima tahun, sekurang-kurangnya jalan raya itu dapat disediakan sehingga mukim Timbua iaitu lebih kurang 10 kilometer (km) dari jalan utama," kata Azizul.
Turut ditawarkan dalam manifesto 'Gemilangkan Ranau Tawaran Untuk Rakyat Ranau' ialah kemakmuran ekonomi dengan meningkatkan pendapatan penduduk di atas paras kemiskinan dan gaji minimum.
Bagi teras keempat iaitu kecekapan perkhidmatan dan penyampaian maklumat, Azizul berkata satu Pusat Khidmat Parlimen Ranau akan diwujudkan, antaranya di Pekan Kundasang dan Pekan Ranau.
Teras kelima pula meliputi kompetensi sukan dan e-ssukan dengan strategi mewujudkan satu kampung, satu fasiliti sukan.
Pada PRU15, kerusi Parlimen Ranau menyaksikan saingan lima penjuru.
Selain Azizul, turut bertanding ialah calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Jonathan Yasin; Taufik Dahlan (Pakatan Harapan); Markos Siton (Warisan), serta Datuk Ewon Ebin yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
#PRU15 #Parlimen Ranau #petani moden #Azizul Julirin
;