PRU15: Pertembungan tiga penjuru di kerusi Parlimen Stampin
Shafik Ahmad
November 5, 2022 15:25 MYT
November 5, 2022 15:25 MYT
KUCHING: Perebutan kerusi Parlimen Stampin menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), DAP dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Ia melibatkan penyandang kerusi berkenaan, Chong Chieng Jen yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi DAP Sarawak.
Turut disahkan secara rasmi, calon muka baharu GPS, Lo Khere Chiang yang juga ADUN Batu Kitang serta Lue Cheng Hing yang bertanding menggunakan logo Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Perkara itu disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Parlimen Stampin, Henry Jalin Watt pada jam 12 tengah hari.
Terdahulu Cheng Hing daripada PBK hadir ke Pusat Penamaan Calon Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sekitar jam 8.28 pagi bagi menyerahkan borang pencalonan.
Pencalonannya dicadang oleh Raymond Thong dan disokong, Wong Tun Teck.
Manakala Khere Chiang dicadang oleh Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, dan Wilfred Yap Yau Sin selaku penyokong semasa menyerahkan borang pencalonan pada 9.10 pagi.
Chieng Jen yang turun mempertahankan kerusinya menyerahkan borang pada 9.30 pagi.
Hadir sama, Tan Kay Chee dan Hiu Kuan Fah selaku penyokong dan pencadang.
Tiada calon Bebas menghantar borang pencalonan untuk bertanding di kerusi Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Untuk rekod, Parlimen Stampin mempunyai 120,801 pemilih berdaftar pada PRU15 berbanding 66,240 pemilih pada 2018.
Chieng Jen sebelum ini menang dengan majoriti 14,221 undi menewaskan Dr Sim yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu.