PRU15: Pertembungan komponen GRS-BN di beberapa kerusi, kerjasama GRS-BN goyah?

Hasimi Muhamad
November 5, 2022 12:41 MYT
Pertembungan calon BN-GPS di beberapa kerusi mencetuskan persoalan sama ada kerjasama antara dua gabungan ini kekal atau bakal berkubur. - Astro AWANI
BEAUFORT: Pertembungan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi mencetuskan persoalan selama mana kerjasama antara dua gabungan itu bakal bertahan.
Antara kerusi yang terlibat adalah di Parlimen Ranau yang menyaksikan Datuk Ewon Ebin dilapor mencalonkan diri di kerusi berkenaan atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), salah satu parti komponen dalam BN.
Ia sekali gus, menyaksikan pertembungan dengan penyandang kerusi Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang mewakili GRS-BN.
Selain Ewon dan Jonathon, turut bertanding di kerusi Parlimen Ranau ialah Apirin Jahalan @ Taufik Sham (PH-PKR), Azizul Julirin (Pejuang) dan calon Warisan, Markus Siton sekali gus menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Satu lagi kerusi yang menjadi tumpuan adalah Parlimen Beluran, selepas penyandang kerusi tersebut, Datuk Ronald Kiandee nekad bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas tidak tercalon pada PRU15.
Kehadiran Ronald itu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru di Parlimen Beluran melibatkan Calon WARISAN Rowiena Rashid; Benedict Asmat (BN), Felix Joseph Saang (PH) dan Hausing Samsudin Pejuang.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini berkata, kerusi Parlimen tersebut diwakili oleh Benedict Asmat daripada BN.
Sementara itu lapan ketua cawangan UMNO di kawasan Lumadan dilaporkan tidak berpuas hati dengan pencalonan wakil (GRS) di kerusi Parlimen Sipitang.
Media melaporkan, mereka mahukan calon BN mewakili kerusi berkenaan.
Wakilnya, Jamal Jakim berkata, mereka akan bertindak keluar UMNO dan tidak mengundi calon GRS, Datuk Matbali Musah, yang diletakkan di Sipitang.
“Kita termasuk pengundi di Kampung Lumadan dan Kampung Jaya Baru tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan calon GRS bertanding di Sipitang, bermakna pimpinan Umno Negeri tidak mempedulikan suara akar umbi.
“Oleh itu, kami mengisytiharkan kami akan keluar daripada UMNO,” katanya memetik laporan Daily Express.
#PRU15 #Perikatan Nasional #Barisan Nasional #PBRS
;