PRU15: Pertaruh Aminuddin di Port Dickson bakal undang beberapa situasi dan kesan - Mujibu

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 27, 2022 08:30 MYT
Menurut Mujibu, keputusan yang akan dilakukan dalam penentuan calon yang bertanding di Parlime Port Dickson akan mewujudkan kesan dan keadaan yang perlu difikirkan. - Foto fail/Mujibu Muis
SEREMBAN: Kerusi panas Port Dickson masih nampaknya masih menjadi sebahagian tajuk utama didebatkan dalam ketikan gendang ‘perang’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) semakin dekat sebelum dipalu sebagai tanda kerahan jentera yang sekian lama disiapkan itu bermula pada 5 November nanti.
Ketika ini teka teki senarai calon serta kerusi yang bakal ditandingi ibarat senjata berharga terakhir untuk dikeluarkan sebelum ke medan perjuangan.
Sebahagianya bagi mengelak ada pihak mencongak kekuatan dan kelemahan ketika menyusun dan mengintai segala ruang kemenangan.
Namun pada PRU15 kali keterdesakan mencari kemenangan dalam kalangan parti politik adalah melebihi daripada sekadar keperluan populariti kerusi panas semata.
Ia memandangkan jumlah kerusi yang ditawar mungkin tidak cukup untuk menyaksikan satu keadaan penguasaan majoriti yang terlalu besar kepada satu kelompok gabungan poltik sahaja.
Bagi Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, kerusi yang ditinggalkan Presiden PKR itu diakui memiliki kekuatan tersendiri.
“Demografi Port Dickson itu barangkali hamper menyamai demografi Malaysia dengan kesimbangan pengundi yang melihatkan pengundi dari kalangan orang Melayu dan bukan Melayu itu setara. Barangkali kerusi ini masih lagi boleh dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kalau kita ambil pertimbangan bahawa calon yang akan diletakkan di situ adalah Menteri Besar Negeri Sembilan sendiri (Datuk Seri Aminuddin Harun), tetapi kita juga sedang menunggu calon-calon Heavy Weight dari Barisan Nasional (BN) dan juga Gabungan Tanah Air (GTA) yang mungkin akan mengubah dinamika di sana,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Selasa.
Menurutnya dengan keadaan iklim politik semasa ketika ini, peratusan untuk PH mengekalkan kerusi tersebut agak tinggi berbanding parti gabungan lain.
"Bagaimanapun, seandainya benar percaturan dari PH untuk meletakkan Menteri Besarnya sendiri untuk mempertahankan kerusi itu, memiliki pro dan kontranya.
“Kita juga melihat apakah Port Dickson itu sendiri akan menjadi semacam ‘statement’ kepada Menteri Besar itu sendiri memandangkan ini juga satu risiko yang perlu dilihat oleh rakan-rakan dalam PH itu sendiri.
“Meletakkan Menteri Besar barangkali boleh meletakkan Port Dickson itu sebagai referendum kecil kepada kepimpinan beliau yang memimpin negeri. Kalau berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRU15 ini di Negeri Sembilan, maka ini juga akan menimbulkan polimik dan juga bacaan-bacaan (percaturan lain) dalam PRN kelak,” kataya lagi.
Ini termasuk katanya mengambil kira soal siapa yang akan berjaya membentuk mandat kuasa baharu di peringkat Kerajaan Pusat selepas tarikh 19 November nanti.
Elemen dan perubahan semasa corak politik sedemikian yang sedang berlaku ketika ini, adalah faktor menarik untuk diikuti perkembanganya secara dekat dan mungkin lebih sukar dijangkakan.
#PRU15 #Aminuddin Harun #Port Diskson #Malaysia Memilih
;