PRU15: Permintaan BN letak 30 peratus calon wanita bukan ikut emosi - Sabariah

Azee Shafy
November 10, 2022 17:26 MYT
Sabariah (kanan) berkata, Wanita UMNO dan BN telah bekerja keras dengan lebih 90 peratus wanita terlibat dengan jentera Jalinan Rakyat (JR). - Gambar/ Astro AWANI
BERA: Permintaan Wanita UMNO untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan keputusan mengikut emosi, sebaliknya munasabah berdasarkan rekod pencapaian golongan itu, kata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan.
Katanya, ini berdasarkan kepada usaha Wanita UMNO dan BN yang telah bekerja keras dengan lebih 90 peratus wanita terlibat dengan jentera Jalinan Rakyat (JR).
"Kalau kita lihat, lebih ramai wanita yang buat kerja. Menerusi JR, wanita inilah yang merayu undi... mereka lebih hampir dengan masyarakat. Bukan saya mahu menidakkan kerja orang lelaki, tetapi hakikatnya wanita yang banyak memainkan peranan.
"Sebab itu saya katakan permohonan wanita untuk dapat 30 peratus itu bukan atas dasar emosi, bukan atas dasar nak menunjukkan wanita itu mampu, tapi sememangnya wanita itu mampu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Bengkel Tanaman Sayur di Kampung Mengkarak, di sini, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Katanya, ramai wanita yang telah dilantik sebagai pemimpin, wakil rakyat dan menteri telah menunjukkan kebolehan mereka dan melaksanakan tugas dengan sempurna.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim, membangkitkan rasa tidak puas hati dengan senarai keseluruhan calon BN bagi kerusi Parlimen pada PRU15.
Ia berikutan senarai calon itu dikatakan gagal menterjemah janji pucuk pimpinan BN menetapkan kuota 30 peratus calon wanita pada pilihan raya kali ini.
Norshida dilapor berkata, kuota 30 peratus calon wanita nampak seperti dipandang enteng pucuk pimpinan dan perkara itu sewajarnya tidak berlaku pada PRU15.
Sementara itu, Sabariah menjelaskan, sebagai calon baharu semestinya beliau berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya pengundi muda yang masih belum mengenalinya.
"Namun, paling berharga, pengalaman saya bekerja selama 16 tahun bersama Perdana Menteri, sedikit sebanyak memberikan idea untuk mendekati masyarakat pelbagai usia.
"Sebagai anak jati di sini, saya yakin 50 peratus sangat mengenali saya, dan kebanyakannya adalah waris atau saudara-mara sahaja. Selebihnya, saya kena berusaha lebih keras, dan meneruskan kecemerlangan mantan wakil rakyat, Datuk Seri Norolazali Sulaiman yang selama tiga penggal di kerusi ini," ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bera berkata, yakin untuk menang walaupun perlu bersaing empat penjuru.
"Keyakinan kena tinggi. Dengan sokongan dan bantuan daripada JR, saya yakin boleh menang, di samping dengan kekuatan jentera BN yang ada.
"Saya harap, semua pengundi khususnya pengundi muda... pandai-pandailah memilih calon. Tengok apa yang telah kerajaan BN buat selama ini. Siapa yang bantu rakyat masa kesusahan. Kerana sekali kita pangkah (undi) untuk tempoh lima tahun. Jadi, buat pilihan yang bijak," ujarnya.
Bagi kerusi DUN Guai, persaingan empat penjuru berlaku antara Sabariah; Noraini Abdul Ghani (Pakatan Harapan), Nor Hashimah Mat Noh (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, Jafari Mohd Yusof.
#PRU15 #calon wanita #Wanita UMNO #Sabariah Saidan
;