PRU15: Perbaiki institusi Parlimen, bawa rakyat dekati politik

Madiha Abdullah
Oktober 11, 2022 21:45 MYT
Penyertaan rakyat akan membawa impak yang besar untuk membantu mencorakkan kematangan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan ahli parlimen. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Institusi Parlimen harus diperbaiki bagi memberikan rakyat gambaran yang lebih baik, sekali gus membawa mereka mendekati Parlimen secara khususnya dan politik secara amnya.
Koordinator Penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid berkata, penyertaan rakyat akan membawa impak yang besar untuk membantu mencorakkan kematangan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan ahli Parlimen.
Katanya, apa yang disajikan kepada rakyat perlu diubah, dan pertengkaran antara ahli parlimen memberikan hasil negatif serta membuatkan rakyat lebih menjauhkan diri dari Parlimen.
"Untuk memperbaiki institusi Parlimen ia terletak pada penyertaan rakyat. Ini kerana rakyat yang letak ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, jadi ini bukanlah bahan lawak kerana meletakkan ahli Parlimen adalah untuk mewakili suara rakyat, berbincang tentang dasar dan buat keputusan tertinggi dalam negara.
"Penyertaan rakyat atau kesedaran yang kita boleh timbulkan dari segi pendidikan politik dan sebagainya, dapat memberi tekanan kepada ahli Parlimen supaya lebih bertanggungjawab dalam berbahas atau mengeluarkan kenyataan dan bukan sekadar bergaduh.
"Kedua, peranan parti politik juga, bagaimana mereka mencorakkan dan membina program kepimpinan untuk hasilkan ahli Parlimen yang tahu melakukan kerja dalam Dewan Rakyat. Ini menekankan aspek kepimpinan, bagaimana mereka menganalisis dasar dan bagaimana membuat kerja di lapangan, melihat kesinambungan kerja di lapangan dan kerja dasar," katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih yang bersiaran pada Selasa.
Dalam masa yang sama, Fakhrurrazi melihat kerjasama secara bi-partisan antara kerajaan dan pembangkang, sebagai kejayaan terbesar Parlimen pada penggal lalu.
"Pemikiran dan semangat bi-partisan dapat dilakukan kerana mereka meletakkan kepentingan rakyat dan dasar berbanding kepentingan parti.
"Sebelum ini terdapat konotasi bahawa hanya kerajaan yang ada dua per tiga majoriti boleh membawa kestabilan dan ini tidak begitu tepat.
"Kalau lihat Parlimen penggal ke 14 semangat bi-partisan dapat dilakukan kerana ada keseimbangan komposisi kerajaan dan pembangkang. Majoriti yang tipis menyebabkan kerajaan perlu bekerjasama dengan pembangkang dalam memikirkan masalah rakyat secara konstruktif.
"Kerjasama ini dapat dilihat dalam pembentukan select committee di mana kerajaan dan pembangkang duduk bersama memikirkan dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan bagi memastikan ia beri manfaat kepada rakyat.
"Semangat ini yang perlu diteruskan untuk penggal Parlimen seterusnya, walaupun kerajaan mempunyai majoriti dua per tiga sekalipun, ia tidak harus meminggirkan semangat kerjasama ini atas dasar kepentingan rakyat," ujarnya lagi.
#PRU15 #Parlimen #REFSA #Fakhrurrazi Rashid
;