PRU15: Penyokong KDM jangan emosi - Peter Anthony

Bernama
November 7, 2022 23:04 MYT
Sabtu lepas pencalonan Peter ditolak oleh SPR pusat pada saat-saat akhir sekali gus mencetuskan kekecohan dalam kalangan penyokongnya. - Gambar fail
KOTA MARUDU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony meminta semua penyokong parti supaya bersabar dan jangan terlalu emosi kerana pencalonannya ditolak ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu berkata masih ada ruang dalam undang-undang untuk membolehkan semakan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, yang dibuat kerana beliau masih mempunyai kes mahkamah belum selesai.
"Mengetahui pencalonan ditolak, saya nampak banyak penyokong kecewa dan ada yang menangis, namun saya katakan ia hanya permulaan kerana kita masih boleh membuat semakan di mahkamah," katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Kampung Minansad di sini hari ini.
Sabtu lepas pencalonan Peter ditolak oleh SPR pusat pada saat-saat akhir sekali gus mencetuskan kekecohan dalam kalangan penyokongnya.
Pada 26 Mei lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik di Universiti Malaysia Sabah.
[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini
RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI
Mahkamah itu juga pada 1 Ogos lepas membenarkan permohonan Peter bagi menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya.
Peter memfailkan permohonan tersebut bagi membolehkannya bertanding pada PRU15.
Di KOTA KINABALU, calon KDM bagi Parlimen Kota Kinabalu Datuk Seri Liaw Kit Siong berkata penolakan Peter sebagai calon untuk bertanding pada PRU15 tidak mematahkan semangatnya serta penyokong parti untuk terus berkempen memastikan kemenangan parti di parlimen itu.
"Bagi saya tiada masalah, perkara itu akan meningkatkan lagi semangat kami kerana KDM adalah parti baharu, jadi kita perlu menaikkan nama KDM ke seluruh negara," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Liaw yang bertanding kali pertama dalam PRU15 bertekad untuk merampas kerusi Parlimen itu yang sinonim dengan DAP dan jika diberikan peluang oleh pengundi untuk memegang kerusi itu, beliau mahu meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan Sabah.
Liaw berdepan cabaran lima penjuru dalam usaha merampas Parlimen Kota Kinabalu iaitu penyandangnya Chan Foon Hin (Pakatan Harapan-DAP), Yee Tsai Yiew (Gabungan Rakyat Sabah-Parti Bersatu Sabah), Amanda Yeo Yan Yin (Warisan) dan calon Bebas Marcel Jude Joseph (Bebas).
-- BERNAMA
#Kota Kinabalu #Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat #pilihan raya umum #PRU15
;