PRU15 penyelesaian terbaik, kerajaan interim pilihan tepat - Penganalisis politik

Astro Awani
Ogos 4, 2021 10:45 MYT
Jelas Dr Romzi, kerajaan interim dilihat pilihan terbaik sebelum tibanya waktu sesuai untuk diadakan PRU15. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penyelesaian terbaik untuk isu politik hari ini ialah memberi mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, pilihan paling tepat pada saat pandemik kini adalah memulangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk penubuhan kerajaan interim atau sebaliknya.
Bagaimanapun jelasnya, kerajaan interim dilihat pilihan terbaik sebelum tibanya waktu sesuai untuk diadakan PRU15.
"Sudah semestinya kita tidak mahu melihat isu kepartian.
"Interim ini haruslah difahami peranan budi bicara Yang Dipertuan Agong, jadi sewajarnya kerajaan interim ini berdasarkan sama ada individu yang kita lantik itu boleh memimpin, boleh menjalankan tugas atau sebaliknya.
"Jadi saya rasa isu kepartian dalam hal ini harus kita ketepikan, kita fokus kepada usaha untuk memastikan negara ini ditadbir dengan sebaik mungkin," katanya semasa sidang video pada Rabu.
BACA: UMNO tarik sokongan: Pejuang enggan masuk campur, beri tumpuan krisis kesihatan, ekonomi - Mukhriz
BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM
Pada Selasa, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Dalam pada itu kata Dr Romzi, rakyat kini boleh melihat mana-mana pemimpin yang benar-benar memberikan perkhidmatan mereka dalam isu pemulihan negara.
Ujarnya, rakyat juga boleh menghukum pemimpin yang mementingkan diri pada PRU15 akan datang dan tidak perlu lagi diangkat sebagai pemimpin.
#UMNO #PM #pandemik #Sabah #ekonomi #letak jawatan #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Yang di-Pertuan Agong #pilihan raya umum #Zahid Hamidi #PRU15
;