PRU15: Peningkatan jumlah pengundi baharu, Hajiji jumpa SPR, JPN Sabah Selasa ini

Astro Awani
Oktober 22, 2022 15:41 MYT
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, beliau tidak mahu daftar pemilih yang diragui kewarganegaraannya itu menjadi penentu pada PRU15.
TENOM: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan bertemu dan mendapatkan penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa depan (25 Oktober) berhubung penambahan luar biasa pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, beliau menjelaskan pihaknya juga akan bertemu dengan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah bagi mengenal pasti kesahihan daftar pemilih itu adalah berstatus warganegara.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, beliau tidak mahu daftar pemilih yang diragui kewarganegaraannya itu menjadi penentu pada PRU15.
"Saya telah membawa perkara ini di Mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu lalu. Kita minta penjelasan SPR negeri pada Selasa akan datang dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah.
"Ini kerana kita dapati suku bangsa dalam daftar pemilih itu orang Melayu. Mungkin Melayu bukan dari Semenanjung tetapi (mungkin) Melayu dari sebarang sana di sebelah Pantai Timur Sabah," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Tenom pada Sabtu.
Selain itu, Hajiji mengajak semua pihak menghentikan perbalahan dan pergaduhan sesama sendiri sebaliknya bersama-sama membantu memajukan negeri Sabah.
Kata beliau, pergaduhan antara pemimpin dan rakyat Sabah hanya akan merugikan negeri itu hingga ada pihak yang mengambil kesempatan.
"Ini amat penting saya yakin rakyat tahu perkara ini (lonjakan pengundi baharu)... jangan ambil mudah kerana itu kita mesti buat sesuatu kita buat laporan kepada pihak berkenaan kita lakukan yang terbaik untujk menjaga hak orang asal sabah. Kalau kita asyik bergaduh orang lain yang akan ambil kesempatan," katanya.
Mengakhiri ucapan Hajiji turut mengingatkan rakyat Sabah supaya memberi kepercayaan kepada calon GRS pada PRU15 termasuk di Parlimen Tenom dan tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang seperti Parti Warisan.
Ujarnya, GRS menawarkan gabungan yang boleh menyatukan rakyat dan beliau berharap gabungan ini mendapat sambutan dan sokongan masyarakat Sabah.
#pengundi baharu #daftar pemilih Sabah #Hajiji Noor #GRS #Malaysia Memilih #PRU15
;