PRU15: Pengundi muda, manifesto seimbang main peranan - Penganalisis
Madiha Abdullah
Oktober 21, 2022 15:39 MYT
Oktober 21, 2022 15:39 MYT
KUALA LUMPUR: Pengundi muda boleh memainkan peranan dalam menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, ini kerana corak pengundian anak muda akan berdasarkan dua faktor iaitu keinginan keluar mengundi dan faktor sosiologi.
"Panduan untuk kita teladani adalah Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu. Walaupun komponen pengundi muda bertambah dengan signifikan, kira-kira 30 peratus tetapi ada dua masalah.
"Pertama, mereka tidak keluar mengundi. Kedua, corak undian mengikut ibu bapa. Dalam sains politik kita panggil sosiologikal, keluarga turunkan pilihan politik, keluarga merupakan ejen utama yang mengajar apa itu politik dan apa perbezaan parti dari kaca mata masing-masing.
"Kempen, seperti yang ramai sudah nyatakan, seolah-olah berterusan dari Pilihan Raya Umum ke-14, tidak begitu agresif seperti semasa kita menuju ke PRU14 tetapi ada usaha yang kita lihat daripada MUDA, Barisan Nasional dan Pas, di mana mereka cuba dekati masyarakat.
"Syed Saddiq sertai TikTok, cuba tarik pengundi muda, walaupun ramai yang memperlekehkan tetapi jumlah pengikutnya hampir sejuta. Jadi kita nampak mereka sudah bina platform nak dekati masyarakat.
"Tetapi untuk mereka turun mengundi, itu satu perkara lain. Nak mengundi parti atau calon tertentu atas faktor kredibiliti, kena faham situasi ekonomi dan politik," katanya ketika muncul sebagai tetamu program Malaysia Memilih, pada Jumaat.
Muhamad Nadzri memaklumkan, faktor kombinasi calon winnable atau mempunyai ketokohan adalah penting, namun budaya politik yang lebih mementingkan aspek personaliti dalam parti dilihat tidak sihat.
Justeru, beliau melihat langkah PKR mewujudkan laman web untuk individu yang berminat mencalonkan diri, dan Barisan Nasional (BN) pula merekrut calon dari golongan profesional, sebagai usaha yang baik.
"Kebanyakan calon ditentukan pada akhirnya, dalam kebanyakan parti di Malaysia, oleh presiden parti masing-masing, jadi ada faktor personal.
"Kalau calon yang boleh menang mempunyai hubungan kurang baik dengan presiden, ada kemungkinan tidak akan dicalonkan. Faktor personaliti dalam parti memainkan peranan besar dan ini tidak bagus.
"Seharusnya ada jawatankuasa yang dilantik khas, melibatkan sekumpulan pemimpin daripada peringkat atas, pertengahan ataupun bawahan, dalam konteks politik kita panggil demokrasi dalam parti dimana presiden tak ada kuasa mutlak sebaliknya ada perbincangan sepakat dan majlis itulah yang membuat keputusan akhir.
"Kita boleh kurangkan aspek favouritism dalam pemilihan calon dan calon pula akan dapat perspektif pelbagai, bukan setakat hubungan peribadi dengan presiden tetapi juga ahli bawahan dan orang ramai, maka kita dapat harmonikan aspek winnable dan kemahuan orang ramai," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Muhamad Nadzri juga berharap parti politik meletakkan fokus pada pembentukan manifesto yang seimbang dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
"Antara punca kejatuhan Pakatan Harapan pada 2020 ialah kerana manifesto jangka pendek kurang dijaga, yang dilihat adalah jangka masa panjang seperti kebebasan kehakiman, ketinggian parlimen, tadbir urus dan sebagainya, sehingga reformasi yang dibawa kurang dirasai rakyat kebanyakan.
"BN pula kekurangannya ialah misi jangka masa panjang, mereka fokus misi jangka pendek.
"Dalam manifesto, kedua-duanya perlu ada, walaupun ramai orang kurang percaya parti tetapi selagi ada usaha, ada harapan, parti yang bertanding kena usaha," katanya lagi.