PRU15: Pengundi muda dikhuatiri penyumbang terbesar peratusan tidak keluar mengundi

Israr Khalid
November 24, 2021 07:02 MYT
Advokasi serta pendidikan politik dan demokrasi harus disampaikan kepada golongan muda sebelum berlangungnya PRU15. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Muak dengan politik tanah air antara sebab utama sebahagian besar golongan muda tidak mahu melibatkan diri dengan proses demokrasi negara.
Meskipun Undi18 akan dilaksanakan tahun depan yang melayakkan hampir 8 juta pengundi baharu untuk memilih, golongan ini dikhuatiri menjadi penyumbang terbesar kepada peratusan tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Koordinator Program UndiNegaraku, Diffan Sina Jasmi, melihat keterujaan para pengundi kali pertama ini untuk mengundi itu ada, tetapi mungkin ia tidak diterjemah dengan kehadiran mereka di pusat pengundian pada hari kejadian nanti.
“Ada dua golongan, yang pertama berumur antara 18 dan 20 tahun yang pertama kali terlibat dalam proses demokrasi negara dan yang kedua berusia 21 tahun ke atas yang sebelum ini layak memilih tetapi belum mendaftar. Ini dua golongan yang perlu diberi perhatian.
“Apa yang kita lihat senario politk kita di negara ini sedikit sebanyak menghakis minat golongan muda ini untuk terlibat sama secara terus.
“Mungkin kita lihat di kawasan-kawasan bandar, keterujaannya mungkin tinggi kerana ia melibatkan satu gerakan seperti yang kita lihat pada PRU14 tetapi kita perlu juga melihat kepada mereka di luar bandar,” katanya.
Maka saran Diffan, SPR mesti lakukan sesuatu bersama parti-parti politik yang dilihat perlu menjalin kerjasama untuk wujudkan advokasi pendidikan politik dan demokrasi untuk menarik golongan ini menghampiri proses demokrasi dan akhirnya merelakan diri untuk terlibat sama.
Usaha ini penting kerana mandat rakyat yang akan diberikan nanti seharusnya merangkumi setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda sebagai peneraju masa depan negara.
Tonton temu bual penuh Agenda AWANI bersama hos Essan Yahya, di sini:
Pengundi muda dikhuatiri penyumbang terbesar peratusan mengundi rendah
Agenda AWANI: Gesaan PRU15 disegerakan, apa reaksi anak muda?
#Agenda Awani #PRU15 #Undi18 #demokrasi
;